“Apa Masalah Kau Degil Sangat?” Ini Pesanan Khas Azwan Ali Kepada Mereka Yang Masih Enggan #StayAtHome

Jumlah kes jangkitan wabak COVID-19 di Malaysia menunjukkan peningkatan dari hari ke hari. Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan  yang sedang dilaksanakan selama dua minggu bermula semalam sehingga 31 Mac ini. Menurut Perdana Menteri lagi, kerajaan mungkin terpaksa melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sekiranya rantaian jangkitan COVID-19 tidak dapat diputuskan.

Turut terpanggil untuk sama-sama menasihati seluruh masyarakat Malaysia adalah selebriti sensasi tanah air iaitu Azwan Ali atau lebih dikenali dengan julukan Diva AA di mana dia mengecam tindakan segelintir individu yang masih enggan duduk di rumah menerusi dua video yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya. Dalam video tersebut, dia meluahkan rasa kecewanya memandangkan masih ada individu yang keluar rumah tanpa rasa bersalah meskipun wabak COVID-19 kini makin menular.

“Perutusan khas daripada Truly Diva AA untuk semua rakyat Malaysia, khasnya untuk rakyat Malaysia yang degil. Merayu suruh duduk rumah pun masih degil merayap ke hulu ke hilir, kau dah kenapa?” kata Azwan Ali dalam video yang berdurasi 59 saat itu.

“Apa masalah kau? Dua minggu sahaja, bukannya dua tahun. Menggelupur masing-masing!” katanya lagi.

Dalam video seterusnya pula, Azwan Ali menyentuh soal mereka yang mementingkan diri sendiri dan bertindak pulang ke kampung halaman dalam keadaan sekarang.

“Tak payahlah balik kampung! Kan Perintah Kawalan Pergerakan suruh duduk di dalam rumah,” tegas Azwan Ali.

Tinjauan kami di ruangan komen mendapati bahawa rata-rata warganet memuji video ‘perutusan’ tersebut, lebih-lebih lagi mesej yang cuba disampaikan Azwan Ali kepada orang ramai. Berikut kami kongsikan beberapa komen daripada pengguna laman Instagram:

“Bagi lagi! Kami sokong. Balik kampung macam nak raya esok lusa,” tulis @anishamza89.

“Terbaik Diva AA. Sampaikan PM sendiri merayu-rayu suruh duduk rumah,” puji @aqramothman.

“Baru kali ini aku setuju dengan Diva AA,” coret @njwa.shfqh.

“Bagi lagi, abang Wan! Mereka ini tak faham bahasa. Orang suruh duduk rumah diam-diam, sibuk nak balik kampung,” kata @qaisaraafiqah.

“Good job, Diva AA! Biar mereka hadam sikit,” tulis @memyselfni_77.

Apa-apa pun, ada betulnya juga apa yang Azwan Ali perkatakan. Mari kita bantu sesama sendiri dalam menangani wabak COVID-19 dengan cara duduk di rumah.

Untuk baca artikel lain berkenaan penularan wabak COVID-19, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca