Apa Kaitan Pelitup Muka Dan Jerawat? Ikuti Penjelasan Daripada Dr. Irma

Pandemik COVID-19 yang melanda negara sekali gus membuatkan kita terpaksa menjalani kehidupan dalam norma baharu. Selain penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka juga merupakan salah satu daripada norma baharu yang terpaksa kita jadikan kebiasaan setiap kali keluar dari rumah.

Malah, pihak kerajaan juga semalam mengumumkan bahawa pemakaian pelitup muka adalah wajib mulai 1 Ogos ini selepas kes positif COVID-19 menunjukkan peningkatan dari hari ke hari serta kemunculan pelbagai kluster baharu yang kian membimbangkan.

Dalam pada itu, pemakaian pelitup muka sepanjang masa membuatkan ramai yang mengatakan wajah mereka kini didiami ‘tetamu’ tidak diundang iaitu jerawat. Persoalannya, apakah kaitan pelitup muka dan jerawat?

Sumber: Twitter @drirmashida

Seorang doktor yang dikenali sebagai Dr. Irma Shida telah menjelaskan isu pelitup muka dan jerawat ini di laman Twitter milik beliau. Perkongsian itu telah meraih perhatian warganet di mana ia mencatat hampir 3,000 ulang kicau dan lebih 2,000 tanda suka dalam tempoh kurang dari 24 jam ia dikongsikan.

Menurut Dr. Irma, masalah ini dikenali sebagai ‘maskne’ di mana ia merupakan gabungan perkataan mask dan acne. Selalunya, bahagian yang tertutup apabila memakai pelitup muka (pipi, hidung dan dagu) akan ditumbuhi jerawat. Perkara ini berlaku kerana kombinasi kelembapan, karbon dioksida dan udara suam daripada nafas kita secara tidak langsung membawa kepada perkumpulan bakteria yang kemudian akan menyebabkan masalah jerawat.

Sumber: The Irish Times

Dalam erti kata lain, kulit kita terperangkap di sebalik pelitup muka. Oleh sebab itu, bakteria yang terkumpul juga akan terperangkap pada wajah dan seterusnya menyebabkan kemunculan jerawat.

Selain itu, Dr. Irma menegaskan bahawa terdapat juga risiko alahan apabila kita memakai pelitup muka yang mengandungi bahan pengawet seperti formaldehid, lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai kulit sensitif.

Pada penghujung bebenang yang sama, Dr. Irma mengingatkan orang ramai supaya tidak khuatir dan panik sekiranya wajah mereka tiba-tiba ditumbuhi jerawat kerana ia adalah perkara biasa. Tegas beliau, jangan disebabkan masalah jerawat, masing-masing terus memilih untuk tidak memakai pelitup muka.

“Jerawat boleh diubati tetapi kita masih belum jumpa vaksin untuk COVID-19,” tulis Dr. Irma dalam mengingatkan orang ramai supaya terus mengenakan pelitup muka bagi menghindarkan diri daripada terkena jangkitan wabak yang setakat ini telah meragut 123 nyawa di negara kita.

Buat anda yang menghadapi masalah maskne, anda boleh dapatkan Radiant Clear Derm Purifier di Shopee atau laman sesawang Dr. Irma kerana ia boleh membersihkan liang pori dengan lebih mendalam dan melawan bakteria yang menyebabkan jerawat berkenaan naik.

Bagi mereka yang mencari penyelesaian untuk masalah jerawat pada wajah, anda boleh ikuti tips daripada Dr. Irma yang kami kongsikan dalam artikel sebelum ini.

Semoga perkongsian ini bermanfaat buat semua.

Untuk membaca artikel-artikel lain berkenaan tips penjagaan wajah, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca