Pada tarikh hari ini iaitu 21 Mac 2020, genaplah empat hari semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) diumumkan oleh YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai salah satu alternatif negara bagi membendung penularan wabak Koronavirus baharu (COVID-19) yang kian membimbangkan.

Meskipun perintah kawalan ini bertujuan untuk melindungi rakyat Malaysia sendiri, masih ada segelintir pihak yang tetap keluar dari rumah dan berkumpul di tempat awam seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.
Menurut laporan New Straits Times, tinjauan pihak mereka pada jam 8 sehingga 8.30 pagi tadi di kawasan Air Itam, Pulau Pinang mendapati terdapat banyak kenderaan diparkir secara berbahaya di tepi jalan dan orang ramai dapat dilihat memenuhi kawasan pasar untuk membeli barangan harian.

Kawasan pasar berkenaan dipenuhi orang ramai sehingga memenuhi jalan raya, mengakibatkan kenderaan terpaksa bergerak pada kadar perlahan.
Walau bagaimanapun, tinjauan pihak New Straits Times mendapati bilangan peniaga yang menjaja barangan mereka di pasar itu dilihat berkurangan daripada kebiasaannya.
Selain itu, kira-kira lapan daripada 10 individu yang berada di kawasan pasar itu dapat dilihat memakai penutup mulut dan hidung.

Pihak polis juga dilihat kerap meronda kawasan pasar itu dan menggunakan alat pembesar suara untuk mengingatkan orang ramai agar tidak berkumpul dan segera meninggalkan lokasi terbabit sejurus selepas membeli keperluan.
Meskipun begitu, jarak satu meter yang ditetapkan sukar untuk dilihat dipraktikkan oleh individu-individu yang berada di kawasan pasar itu susulan terlalu ramai manusia berkumpul.
Sebelum ini, beberapa foto yang memaparkan kawasan pasar di Air Itam, Pulau Pinang yang sesak dengan orang ramai tular di media sosial mengakibatkan warganet menyuarakan kebimbangan mereka dan menyeru tindakan segera diambil oleh pihak berkuasa tempatan.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan datuk bandar Majlis Perbandaran Pulau Pinang Datuk Yew Tung Seang semalam, pihak berkuasa akan terus memantau dan meronda di kawasan pasar Air Itam itu.
“Sekiranya terdapat peniaga yang masih menjaja di kawasan berkenaan, lesen perniagaan mereka boleh ditarik semula,” katanya.

Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah bermula di seluruh negara pada Rabu lalu dan bakal tamat pada 31 Mac 2020.
Usaha ini adalah bagi membendung penularan wabak COVID-19 yang kini sudah meragut tiga nyawa di Malaysia.
Untuk membaca artikel lain berkaitan wabak Koronavirus baharu (COVID-19), sila klik pada pautan di bawah: