Tidak Cenderung Haramkan Buku, Anwar Ibrahim Mahu Penulis Lebih Kreatif dan Pembaca Lebih Berfikir

Dalam industri penerbitan buku, antara isu yang sering hangat diperkata dan diperdebatkan adalah tentang pengharaman buku. Antara yang kontroversi adalah ketika Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2016 di mana telah kecoh berkenaan ‘pengharaman’ novel Uqasha: Nafsu dan Uqasha: Rahsia serta Amran Fans yang diarahkan untuk diberhentikan jualan serta-merta setelah mendapat ‘aduan’ oleh beberapa pihak sehingga pemilik syarikat penerbitan terlibat (Lejen Press dan Dubook) dipanggil naik ke pejabat KDN Putrajaya.

Menjawab satu soalan dalam sebuah majlis yang turut dihadiri penulis Langit Petang iaitu Sasterawan Negara A. Samad Said, Anwar Ibrahim menjawab soalan tentang sama ada penulis kini (di bawah pemerintahan kerajaan baru) bebas untuk menerbitkan buku mereka, beliau memberi jaminan bahawa kebebasan dan ruang kreatif akan diberikan kepada para penulis untuk menerbitkan pandangan yang berbeza.

“Kalau tidak diberikan ruang kreatif itu, jadi orang tidak boleh berfikir.”

Beliau mengatakan bahawa dalam Malaysia Baru, buku tidak boleh diharamkan kecuali beberapa yang menghina agama. Anwar menekankan yang buku-buku seperti The Satanic Verses tulisan Salman Rushdie harus diharamkan kerana ia telah membuat penghinaan terhadap agama Islam.

“Ini hanya pandangan peribadi saya. Saya tidak cenderung untuk isu ini melarang (buku) melainkan ia adalah buku Satanic Verses. Itu berbeza.”

Buku The Satanic Verses terbitan pertama pada tahun 1988 itu kontroversi lantaran penginaan  yang akhirnya membuatkan penulisnya terpaksa mencari perlindungan dan suaka politik di UK susulan ancaman diterimanya.

Senarai buku yang telah masuk perintah larangan boleh disemak melalui web kendalian Kementerian Dalam Negeri – KDN E-PQ.

Untuk makluman, jika anda sama ada sebagai peniaga atau pembeli buku, apa-apa judul yang tiada dalam senarai capaian di atas adalah sah bersih daripada dilabelkan haram dan bukanlah ‘pendosa KDN’. Justeru, tiada masalah untuk urusan jual beli buku tersebut.

Ini memandangkan terdapat salah faham dalam kalangan peniaga, penerbit dan pembeli buku bahawa apabila sesebuah buku itu telah viral kononnya diharamkan, atau baru menerima surat kuning untuk siasatan, ia sudah tidak boleh dijual-beli. Ia adalah fahaman yang tidak betul sama sekali. Hanya buku yang sudah diwartakan dan ada dalam senarai web KDN sahaja yang sah status haramnya. Yang lain? Halal.

Antara buku-buku Lejen Press yang telah masuk dalam senarai pengharaman ialah Psiko tulisan Ehsan El Bakri dan 28 Hari Jurnal Rock & Roll + Anarki Di Kuala Lumpur karya Mohd Jayzuan.

Artikel Lain Untuk Di Baca