Anugerah Hargai Peminat Suara Latar, Ini Senarai Pemenang Golden Voice Award 2020

Safuan Mokhtar telah dinobatkan sebagai juara Golden Voice Award 2020 yang berlangsung pada 30 Disember lalu menerusi saluran FB Live Khairul Anuar Azmi dan Kolej 13, Universiti Putra Malaysia.

Selain memenangi Anugerah Voice Over Talent kategori Ini Bukan Norma Kita, Safuan berjaya menawan hati juri profesional dengan menggunakan suara latarnya dalam kategori-kategori yang dipertandingkan.

Beliau yang bekerja di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) turut menzahirkan rasa syukur atas kemenangan berkenaan dan sama sekali tidak menjangkakan diri sendiri akan tercalon dan memenangi Anugerah Khas tersebut.

“Safuan mempunyai pakej lengkap untuk memenangi Anugerah Golden Voice Award 2020 kerana beliau tahu menggunakan bakat yang beliau ada untuk mempelbagaikan intonasi dan suara mengikut skrip yang berbeza.

Untuk menjadi seorang penggiat seni dunia suara latar, bukan sahaja bakat tetapi kesungguhan dan komitmen juga perlu ada. Safuan mempunyai semua di atas,” ujar Khairul Anuar Azmi selaku ketua juri dan hos majlis tersebut.

Sumber: Instagram @khairulanuarazmi

Turut hadir memeriahkan majlis tersebut adalah selebriti dan penggiat suara latar profesional seperti Jay Jamalina, Marsila Hassan, Naim Hashim, Azman Zulkiply dan Tabah Sazwan. Mereka telah dijemput sebagai selebriti jemputan yang digandingkan bersama-sama beberapa orang pelajar didikan Khairul.

Azman Zulkiply pernah membintangi suara General Rama, Viktor dan Bakar dalam versi bahasa Inggeris Ejen Ali The Movie telah memberikan sedikit tips pada malam tersebut kepada mereka yang berminat untuk menyumbangkan suara watak animasi.

Menurut Azman, mereka perlu menggunakan segala suara untuk menyampaikan niat dan emosi watak yang perlu dilakonkan. Atas sebab itu, ia merupakan tugas dan cabaran yang berbeza dengan pelakon skrin.

Selain Azman, Marsila Hassan iaitu seorang hos di Media Prima berharap agar majlis anugerah ini diadakan setiap tahun dan mendoakan lebih ramai orang dapat menimba ilmu di platform Persatuan Si Pencerita dan Nuar Storyteller supaya berpeluang untuk menceburi industri suara latar kelak.

Sumber: Instagram @marsilahassan

Ia turut disokong oleh Tabah Sazwan di mana beliau berharap majlis anugerah seperti ini perlu diberi lebih pendedahan lagi kepada semua orang di luar sana agar lebih ramai yang tahu kewujudan industri suara latar di Malaysia.

Pemilik suara latar Melodi itu berkata Persatuan Si Pencerita dan Nuar Storyteller ialah platform baik kepada semua ahli untuk mengasah bakat dalam bidang suara latar dan sekali gus boleh menawarkan perkhidmatan mereka kepada usahawan-usahawan di luar sana untuk mempromosikan produk dan servis yang ditawarkan.

Sumber: Instagram @tabahsazwanothman

Jay Jamalina yang merupakan Ketua Bahagian Berita Radio dan Editorial Media Prima Berhad berkata bahawa Persatuan Si Pencerita dan Nuar Storyteller boleh membantu individu yang berminat untuk menjadi pembaca berita lebih menghayati dan memahami maksud sesuatu berita yang disampaikan oleh mereka.

Naim Hashim iaitu seorang penyampai berita Suria FM turut meninggalkan komen positif berkenaan penganjuran Golden Voice Award 2020, “Saya percaya ini adalah waktu tepat untuk Malaysia menghargai bakat-bakat seni suara latar yang telah banyak menyumbang kepada daya tarik sesuatu iklan, dokumentari, kartun dan sebagainya.”

Sumber: Instagram @naimhashim

Kami akan kongsikan senarai pemenuh pemenang-pemenang Golden Voice Award 2020 menerusi artikel ini:

Kategori Utama

1. Anugerah VO Terbaik Cabaran VO Klasik: Pantun/Puisi/Sajak: Norhazila Ahmad Kamsi

2. Anugerah VO Terbaik Cabaran VO Seram: Raja Endang Ereena Raja Omar

3. Anugerah VO Terbaik Cabaran Pengumuman Dalam Penerbangan: Nazatulshima Mustafar

4. Anugerah VO Terbaik Cabaran Ini Bukan Norma Kita: Mohd Safuan Mokhtar

5. Anugerah VO Terbaik Cabaran Monologi Puteri Gunung Ledang: Syed Ariff Manja Yaziz

Kategori Khas

1. Anugerah VO Video Kreatif: Nur Adibah A.Bakar

2. Anugerah VO Paling Komited: Saleha Samsudin

3. Anugerah Golden Voice Award 2020: Mohd Safuan Mokhtar

Untuk pengetahuan anda, Golden Voice Award 2020 ialah majlis anugerah tahunan yang dianjurkan buat pertama kalinya oleh Persatuan Si Pencerita.

Majlis anugerah ini adalah hasil buah fikiran Khairul bersama platform Telegram Nuar Storyteller dengan bantuan teknikal daripada sekumpulan pelajar Kolej 13, Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk memberi pengiktirafan kepada bakat-bakat baharu dan penggemar suara latar dalam industri hiburan. Apa-apa pun, tahniah diucapkan kepada semua pemenang.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca