Anugerah Golden Voice Award 2020, Ini Cara ‘Morgan Freeman Malaysia’ Hargai Peminat Suara Latar

Pemilik suara lunak, Khairul Anuar Azmi akan menganjurkan Golden Voice Award 2020 untuk menghargai semua peminat voice-over pada 30 Disember (Rabu) ini.

Untuk pengetahuan anda, majlis anugerah ini bakal menemui orang ramai pada jam 9 malam menerusi saluran Facebook Live Khairul Anuar Azmi dan Webinar.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Nuar ini mencuri perhatian ramai kerana aktif mempamerkan bakat suaranya di media sosial dan turut mewujudkan sebuah grup Telegram Nuar_Storyteller secara percuma untuk mereka yang berminat dengan kerjayanya sebagai voice-over talent.

Sumber: Instagram @khairulanuarazmi

Selain memperkenalkan bakat-bakat baharu dalam bidang suara latar, majlis anugerah ini mahu memperkenalkan Persatuan Si Pencerita kepada orang ramai.

Antara tujuan lain majlis anugerah berkenaan ialah kemuncak program tugasan cabaran bermain voice-over di Telegram Nuar_Storyteller sepanjang tahun 2020.

Kami akan kongsikan lapan kategori yang bakal dipertandingkan dalam Golden Voice Award 2020 menerusi artikel ini iaitu:

1. Anugerah VO Talent Komited

2. Anugerah VO Terbaik Cabaran Monolog Puteri Gunung Ledang

3. Anugerah VO Terbaik Cabaran Ini Bukan Norma Kita

4. Anugerah VO Terbaik Cabaran Pengumuman Dalam Penerbangan

5. Anugerah VO Terbaik Cabaran VO Klasik

6. Anugerah VO Terbaik Cabaran VO Seram

7. Anugerah VO Video Kreatif

8. Anugerah Khas (Golden Voice Award 2020)

Untuk pengetahuan anda, Golden Voice Award 2020 ialah majlis anugerah tahunan yang dianjurkan buat pertama kalinya oleh Persatuan Si Pencerita.

Majlis anugerah ini adalah hasil buah fikiran Nuar bersama platform Telegram Nuar Storyteller dengan bantuan teknikal daripada sekumpulan pelajar Kolej 13, Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk memberi pengiktirafan kepada bakat-bakat baharu dan penggemar suara latar dalam industri hiburan.

Selain Nuar, rakan selebriti dan penggiat suara latar profesional seperti Jay Jamalina, Marsila Hassan, Naim Hashim, Azman Zulkiply dan Tabah Syazwan juga akan turut serta memeriahkan majlis malam itu.

Antara keunikan yang bakal anda saksikan adalah pertempuran di antara selebriti dan voice-over talent profesional dengan bakat-bakat baharu yang diasah oleh Nuar sendiri dalam Voice Over Battle. Mereka bakal berentap menjual suara dalam beberapa kategori seperti Pengulas Sukan, Pembaca Berita, Animasi dan banyak lagi. Menarik kan?

Dalam pada itu, kriteria pemilihan para pemenang anugerah pula adalah 100 peratus berdasarkan pemarkahan juri profesional dalam bidang suara latar. Penyertaan adalah terbuka kepada ahli-ahli Telegram Nuar Storyteller.

Untuk menyertai pertandingan ini, individu-individu yang berminat boleh hantar video atau audio mereka ke Instagram @nuar_storyteller. Selain itu, mereka boleh juga sertai pertandingan ini melalui pencarian #1hari1voiceover.

Jangan lupa saksikan siaran langsung Golden Voice Award 2020 menerusi Facebook LIve Khairul Anuar Azmi Rabu nanti!

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca