Anjur Parti Minum Air Kencing Lembu Demi Perangi COVID-19, Aktivis Di India Ditahan

Seorang aktivis parti pemerintah India ditahan pihak berkuasa negara itu semalam selepas seorang sukarelawan jatuh sakit kerana meminum air kencing lembu dalam sebuah parti untuk memerangi wabak Koronavirus baharu (COVID-19).

Menurut laporan polis, ramai individu di republik itu kini menunjukkan minat terhadap kaedah ‘rawatan’ di rumah untuk menangani pandemik terbabit.

Penganjur acara minum air kencing lembu itu, Narayan Chatterjee yang juga merupakan aktivis Parti Bharatiya Janata diberkas polis Bengal Barat pada lewat malam Selasa lalu.

“Selain menjadi penganjur pesta berkenaan, suspek turut dituduh atas kesalahan memaksa seorang sukarelawan sivik untuk meminum air kencing lembu,” kata Ketua Polis Kolkata, Anuj Sharma.

“Sukarelawan sivik itu kemudiannya jatuh sakit pada Selasa lalu dan segera membuat aduan kepada pihak berkuasa.”

Sementara itu, Presiden Parti Bharatiya Janata iaitu Dillip Gosh pula setelah ditemu bual menyifatkan penahanan aktivis berkenaan sebagai perkara yang malang.

“India merupakan sebuah negara demokratik. Setiap orang mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat mereka,” jelasnya.

“Adalah malang buat Chatterjee yang ditahan kerana menyuarakan pandangannya dengan menganjurkan acara berkenaan. Kita tidak tahu sekiranya benar atau tidak sukarelawan terbabit dipaksa untuk meminum air kencing lembu.”

Untuk pengetahuan, ramai dalam kalangan 1.3 bilion penduduk India menganuti agama Hindu dan menganggap lembu sebagai suci. Mereka juga percaya meminum air kencing haiwan terbabit adalah penawat buat semua penyakit termasuklah artritis, asma, kanser dan kencing manis.

Pada minggu lalu, berpuluh aktivis Hundu telah mengadakan sebuah parti air kencing lembu di ibu negara New Delhi di mana mereka telah melakukan ritual api dan minum air kencing daripada cawan tanah liat untuk memerangi COVID-19.

Walau bagaimanapun, kaedah yang dilakukan itu ditolak oleh pengkritik dan dilabel sebagai cara perubatan palsu.

Seorang peniaga susu di negeri sama turut ditahan pada Selasa kerana menjual air kencing dan tahi lembu serta mendakwa ia dapat mengelakkan jangkitan Koronavirus

Peniaga itu yang dikenal pasti sebagai Sheikh Masud telah menjual air kencing lembu pada harga 500 rupee (RM29.36) seliter dan tahi lembu 400 rupee (RM23.49) sekilogram.

Setakat semalam, sebanyak 151 kes positif dan tiga kematian akibat COVID-19 dicatatkan di India. Kebanyakan sekolah, pusat hiburan termasuk pawagam dan Taj Mahal ditutup dalam usaha menghentikan penularan virus itu.

Untuk membaca artikel lain berkaitan COVID-19, sila klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca