Anjing Ini Dipotong Mulut Dan Hidung Hingga Lompong, NGO Tawar Ganjaran Kepada Pemberi Maklumat

Lebih binatang daripada binatang, itulah gelaran yang selayaknya buat individu yang langsung tidak berhati perut dan sanggup menganiayai haiwan tidak berdosa ini.

Seekor anjing betina telah dipotong mulut dan hidungnya oleh seorang individu yang juga layak dipanggil syaitan bertopengkan manusia hanya gara-gara haiwan itu sering meminta makanan. Perbuatan zalim itu sekali gus menyebabkan wajah haiwan yang tidak mampu mempertahankan diri itu lompong.

Perbuatan tidak berperikemanusiaan ini telah dikongsikan oleh Persatuan Haiwan Malaysia di laman Facebook mereka.

Kejadian yang dipercayai berlaku di Kampung Tembovo, Penampang, Sabah ini amat meruntun jiwa para pencinta haiwan. Pelaku pula dikatakan masih bebas setelah apa yang dia lakukan terhadap haiwan comel itu.

Menurut Presiden Persatuan Haiwan Malaysia iaitu Arie Dwi Andika, pihaknya menggesa mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Sabah untuk mengendalikan kes ini sehingga individu itu ditangkap.

“Kami mahu pelaku itu ditangkap, dituduh dan dijatuhkan mengikut enakmen kebajikan haiwan di Sabah.”

“Kami di Semenanjung tidak boleh campur tangan berikutan Sabah dan Sarawak mempunyai enakmen negeri masing-masing,” katanya.

Difahamkan, anjing itu kini berada di bawah jagaan sebuah pertubuhan haiwan di Sabah. Namun begitu, doktor yang merawat anjing tersebut menasihati untuk mematikan haiwan itu kerana kecederaan yang dialaminya terlalu parah.

“Setakat ini, kami dimaklumkan ada yang memberitahu anjing itu ditetak selepas berkunjung ke rumah penduduk untuk meminta makanan,” jelas Arie.

“Kami difahamkan, pelaku itu mabuk dan membuat melakukan perkara itu sebagai hiburan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap agar pelaku itu ditangkap dengan segera dan mendapat hukuman setimpal atas perbuatan yang telah dilakukan.

“Kejadian ini bukan sahaja zalim malah ia melanggar norma manusia. Tindakan itu tidak boleh dijangkau oleh kewarasan akal fikiran.”

Ganjaran buat pemberi maklumat

Kejadian yang menimpa anjing malang ini masih disiasat dan bagi sesiapa yang mempunyai maklumat lengkap berkenaan insiden ini, anda boleh salurkannya kepada Persatuan Haiwan Malaysia.

Persatuan Haiwan Malaysia turut menawarkan hadiah sebuah skuter Daelim History 125S buatan Korea bernilai RM9,500 buat individu atau saksi kejadian yang memberi maklumat lengkap hingga tertangkapnya pelaku zalim ini.

Sebarang maklumat berkenaan kejadian ini boleh disalurkan menerusi aplikasi WhatsApp ke 011-20901097.

Artikel Lain Untuk Di Baca