Anjing Ini Ditemui Mati Dengan Dua Anak Panah Tercacak Pada Badannya, Polis Buru Individu Bertanggungjawab

Seekor anjing ditemui mati dengan dua kesan anak panah tercacak di bahagian badannya berhampiran sebuah kedai serbaneka 24 jam di Dayang Bay, Kuah, Langkawi.

Polis mencari individu berhati kejam yang bertanggungjawab membunuh anjing itu. Pihak polis sehingga kini belum lagi dapat memastikan anjing tersebut merupakan anjing peliharaan atau liar kerana masih menunggu jika ada sebarang laporan kehilangan haiwan peliharaan daripada penduduk sekitar.

Mohd Iqbal, Ketua Polis Daerah Langkawi berkata, seorang wanita melihat satu hantaran di Facebook mengenai seekor anjing yang ditemukan dengan dua kesan anak panah di badan haiwan itu lalu segera melaporkan kejadian tersebut kepada pihaknya.

“Semasa pihak polis sampai ke tempat kejadian, bangkai anjing itu telah ditarik oleh orang awam untuk dibuang ke laut.”

“Bagaimanapun bangkai anjing tersebut berjaya diperoleh semula dan dibawa ke Klinik Haiwan Chenang untuk dibedah siasat kerana tiada Pegawai Veterinar bertauliah di Langkawi,” kata Mohd Iqbal.

Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1)(d) Akta Binatang 1953. Polis juga meminta pemilik akaun Facebook Chen Liau Weng serta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan agar tampil untuk membuat siasatan.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca