Baru-baru ini, tular di media sosial tentang sepucuk surat yang memaklumkan penutupan sementara Klinik Desa Gesir Tengah di Hulu Selangor. Penutupan itu dibuat bukannya kerana terdapat kerja penyelenggaraan atau apa-apa acara, tetapi ia disebabkan ‘episod’ kejadian aneh yang berlaku di situ.

Penularan surat berkenaan menyebabkan rata-rata warganet mempersoalkan apa sebenarnya berlaku di klinik tersebut. Menimbulkan lagi persoalan dalam kalangan masyarakat, surat itu juga turut mempunyai lampiran kronologi kejadian misteri yang berlaku di klinik berkenaan.

Malah, kesahihan surat itu disahkan sendiri oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

Berdasarkan surat itu, terdapat beberapa kejadian pelik yang telah berlaku sebelum klinik itu ditutup termasuklah satu kes di mana seorang kanak-kanak menangis ketakutan kerana dia dipercayai ternampak kelibat seorang nenek tua dalam keadaan yang sangat menakutkan menyeru namanya.

Kanak-kanak itu dikatakan tidak ‘menyapa’ panggilan nenek tua itu dan meminta ibunya keluar dari klinik berkenaan. Belum sempat mereka melangkah keluar, seorang jururawat bertugas dipercayai tiba-tiba diserang histeria.

Dalam kes lain pula, seorang kanak-kanak meminta ibunya menyelamatkan adiknya kerana nenek tua tadi dikatakan sedang mengusap kepalanya.

Menurut kanak-kanak itu, terdapat 3 makhluk aneh mengganggunya ketika berada di klinik tersebut termasuklah lembaga hitam, nenek tua dan seorang perempuan berambut panjang.

Pada Januari lepas, beberapa petugas klinik berkenaan dipercayai menghidu bau wangi seakan-akan serai. Pada masa yang sama, mereka juga ada ternampak satu laluan lurus dengan cahaya merah dan putih sebelum berlari keluar dari klinik itu.

Tugasan harian petugas terganggu akibat terpaksa berdepan episod demi episod ‘rumah hantu’ di klinik itu. Malah, para pesakit juga turut terganggu dengan kejadian aneh dan menyeramkan yang mereka terpaksa hadapi itu.

KEJADIAN MISTIK BERLAKU SEJAK 12 TAHUN LALU

Menurut petugas di situ, kejadian mistik ini bukanlah sesuatu yang baru. Perkara yang sama telah berlaku sejak tahun 2007 sehingga ada jururawat yang memilih untuk berpindah tempat kerja kerana tidak tahan diganggu oleh lembaga hitam.

Bukan itu sahaja, setiap kali ada petugas baru di situ, kehadiran mereka pasti akan ‘disambut’ oleh bau-bauan pelik sebelum kelibat mencurigakan ‘menjemput’ mereka masuk.

Malah, terdapat juga kes di mana seorang jururawat tiba-tiba menjerit sehingga matanya bertukar menjadi merah seolah-olah memakai kanta lekap. Suara perempuannya yang lembut itu juga turut bertukar menjadi garau. Dia kemudiannya dipercayai meracau perkara yang tidak masuk akal.

BERAS KUNING DAN PATUNG HITAM

Menerusi surat yang tular itu juga, dikhabarkan petugas akan ‘disajikan’ dengan beras berwarna kuning bertaburan di dalam tandas klinik berkenaan setiap pagi.

Paling membuat semua orang tidak keruan adalah apabila terdapat satu patung berwarna hitam ‘bersantai’ di atas bumbung klinik berkenaan. Sebelum ini, bumbung itu elok sahaja tanpa sebarang ‘penghuni’.

Keadaan ini menyebabkan ada segelintir petugas yang memilih untuk meneruskan perkhidmatan klinik di bawah pokok di luar klinik itu kerana sudah tidak tahan asyik diganggu. Mereka hanya akan masuk ke dalam klinik sekiranya ada yang menemani. Kalau seorang sahaja, memang pokok itulah yang menjadi tempat kerja baru mereka.

Berikut merupakan surat yang menceritakan ‘episod aneh’ di klinik berkenaan:

Difahamkan pelbagai ikhtiar telah diambil untuk memulihkan keadaan di klinik desa itu. Namun begitu, ia akan pulih sekejap sahaja sebelum gangguan aneh kembali mengganggu.

Klinik desa itu ditutup buat sementara waktu bagi memulihkan lokasi berkenaan. Difahamkan, ia akan dibuka kepada orang ramai setelah ‘pendatang tanpa izin’ itu keluar dari tempat tersebut.

Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda
0
like
0
love
0
haha
0
wow
0
sad
0
angry