Anggap Sekadar Mainan Tidur, Mimpi Mati Lemas Akhirnya Betul-Betul Jadi Kenyataan

“Arwah beritahu yang dia mimpi mati lemas, saya tidak sangka rupanya ia betul-betul menjadi kenyataan.”

Itulah yang sempat diceritakan oleh Mohamad Azim Mohd Zamri iaitu rakan kepada Mohd Razlan Sabarudin yang meninggal dunia selepas lemas di Pusat Peranginan Air Terjun Puncak Janing dekat Padang Terap, Kedah.

Menurut Mohamad Azim, arwah yang berusia 15 tahun itu bermimpi pada pagi Isnin dan menganggap ia cuma mainan tidur semata-mata sebelum tiba di kawasan perkelahan tersebut untuk memancing sekitar jam 8.45 pagi.

Difahamkan, mereka berdua pergi ke kawasan itu bersama seorang lagi rakan yang dikenali sebagai Zafran Zamri.

Mangsa yang juga merupakan pelajar Tingkatan 3 di Sekolah Menengah Dato Syed Ahmad, Kuala Nerang dikatakan bermimpi mati lemas sebelum terjaga daripada tidur.

Cerita Mohamad Azim, mereka pergi ke tempat itu dengan menunggang dua motosikal. Sebaik sahaja sampai di sana, mereka berpecah bagi memancing ikan. Dia turut berpesan kepada mangsa agar tidak mandi di kawasan itu kerana airnya dalam.

Setelah beberapa ketika, Mohamad Azim datang semula ke tempat itu dan ternampak kelibat Zafran serta Mohd Razlan sedang tenggelam timbul. Namun begitu, dia cuma sempat menyelamatkan Zafran dengan menarik tangannya ke tebing.

Ujar Mohamad Azim, dia tidak berani untuk terjun bagi menyelamatkan Mohd Razlan kerana mangsa ketika itu sudah ke tengah dan berada di tempat yang dalam.

Dia kemudiannya bertindak menjerit memanggil nama Mohd Razlan berkali-kali namun mangsa tidak memberi apa-apa respon.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Terap iaitu Deputi Superintendan Noh Idris mengesahkan insiden itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Kuala Nerang untuk tindakan lanjut manakala rakan mereka, Zafran kini dirawat di hospital sama.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca