Anemia merupakan masalah darah yang paling sering dijumpai tetapi masih ramai yang tidak betul-betul memahaminya. Penyakit anemia ini melibatkan satu perempat dari seluruh penduduk di dunia dan ia lebih kerap di alami oleh wanita, kanak-kanak, wanita yang mengandung dan orang tua. Anemia boleh menyebabkan peningkatan kos perawatan dan menurunkan tahap ekonomi seseorang kerana sentiasa letih dan tidak bermaya untuk bekerja.
Apa itu Anemia?
Anemia adalah keadaan di mana berlakunya kekurangan jumlah sel darah merah atau paras haemoglobin di dalam darah. Bila seseorang itu mengalami anemia, darah beliau tidak mampu membekalkan oxygen untuk keperluan diri sendiri.
Tanda dan Gejala Anemia
Tanda tanda dan gejala-gejala boleh jadi berkaitan dengan keadaan-keadaan yang menyebabkan anemia itu sendiri.
-Merasa letih dan lemah.
-Kurang daya tumpuan.
-Rasa berdebar-debar atau sukar bernafas.
-Kekeliruan, rasa tidak sihat dan berasa dahaga.
Sebelum tanda-tanda anemia menjadi nyata, penurunan paras hemoglobin mesti ketara dulu. Pesakit mungkin nampak pucat, kuku yang melengkung (koilonychias), jaundis (perpecahan sel darah merah),talasemia dan pembentukan tulang yang luarbiasa (talasemia major) atau ulser kaki (anemia ‘sickle cell’).
Dalam keadaan anemia yang lebih serius terdapat tanda-tanda pengaliran darah yang laju;jantung yang berdenyut laju, nadi yang kuat dan kegagalan jantung dengan saiz yang besar.
Kanak-kanak yang mengidap anemia mungkin menunjukan kelakuan yang pelik dan tidak mampu belajar dengan baik.
Penyebab-penyebab Anemia
Anemia dapat dibahagikan kepada empat kumpulan utama, iaitu:
– Gangguan pembentukan sel darah
merah.
– Perpecahan sel sel darah merah
– Pendarahan
– Cecair yang berlebihan dalam
badan
Keadaan-keadaan yang disebut di atas boleh terjadi dengan serentak dan memberi kesan yang lebih teruk kepada anemia itu sendiri. Contohnya, pendarahan boleh menyebabkan anemia tetapi sekiranya pesakit itu turut mempunyai keadaan kurang zat, maka anemia yang di alaminya menjadi lebih teruk.
Anemia dapat dikesan dari ujian ‘full blood count’ (FBC). Ujian ini dilakukan oleh pembilang automatic yang terdapat di klinik kesihatan dan hospital.
Rawatan untuk penyakit anemia bergantung kepada penyebab dan keterukan anemia. Pemberian zat besi dan vitamin samada dimakan atau disuntik boleh menggantikan kekurangan zat-zat tersebut. Vitamin C dalam bentuk minuman jus oren juga perlu diambil kerana ia dapat membantu badan menyerap zat besi.
Untuk anemia yang kronik, ia akan berkaitan dengan kemoterapi atau kegagalan buah pinggang, setengah doktor akan memberi suntikan ‘erythropoietin’ atau ‘epoietin alfa’ untuk merangsang pembentukan sel-sel darah merah.
Terdapat persatuan seperti Persatuan Talasemia Malaysia yang sangat aktif untuk memberi perangsang dan kesedaran kepada pesakit, keluarga dan orang ramai.
Sumber: myHealth