Tidak dinafikan, ramai di antara rakyat Malaysia lebih memilih untuk menggunakan pengangkutan awam yang disediakan seperti komuter dan LRT untuk mengelakkan diri daripada berhadapan dengan kesesakan lalu lintas, terutamanya pada waktu puncak. Kadangkala, ada sesetengah individu berpendapat bahawa pengangkutan awam lebih memudahkan perjalanan mereka serta menjimatkan kos.
Baik, berbalik kepada tajuk rencana ini – lain orang, lain ragam. Macam-macam orang, macam-macam ragam. Sebagai salah seorang daripada beribu-ribu pengguna komuter dan LRT di negara ini, penulis tergerak hati untuk berkongsi pendapat penulis sendiri tentang aspek-aspek utama yang dipandang enteng oleh kebanyakan pengguna kedua-dua jenis pengangkutan awam ini.
- Suasana di dalam tren – Berborak. Hah, anda mungkin mengutuk penulis di dalam hati sekarang ini bukan?
“Ish, apabenda berborak pun jadi isu?”
“Berborak pun annoying ke lol? Tak payah naik tren lah!”
Sabar. Belum habis explain lagi. Berborak memang tidak menjadi masalah, tetapi yang menjadi masalah adalah apabila anda berborak mengalahkan makcik-makcik di aktiviti rewang kenduri. Kadangkala, sesi berborak itu diserikan lagi dengan hilai tawa yang mengalahkan Cik Pon. Kombo. Secara tidak langsung situasi ini mencetuskan pencemaran bunyi dan mengganggu para penumpang yang lain. Penulis faham yang anda hanya mahu berkongsi cerita (ataupun kegembiraan) yang anda alami tetapi tidak perlulah dicanang satu dunia. I know that sharing is caring, but definitely not for this one. Sorry. We are not interested.
- Tempat duduk. Seperti biasa, tempat duduk akan menjadi salah satu isu berbangkit. Penumpang sedia maklum di dalam setiap tren – setiap koc, akan disediakan ruangan tempat duduk khas untuk golongan-golongan yang lebih memerlukan – orang kelainan upaya, warga tua, ibu mengandung, pengguna kerusi roda, dan ibu bersama anak kecil atau bayi. Acap kali dilihat individu-individu yang sihat tubuh badannya dan waras akal fikirannya memenuhi tempat-tempat duduk ini. Tepuk dada, tanya akal – adakah anda seorang yang bertimbang rasa?
Jika anda terlihat akan penumpang-penumpang komuter atau LRT yang lebih memerlukan tempat duduk, apa kata berikan tempat duduk anda kepada mereka jika anda berupaya. Tak salah, bukan? Budi bahasa, budaya kita.
3. Koc Wanita. Untuk point ini, penulis tidak berniat untuk tampak biased atau berat sebelah tetapi hanya menyatakan pandangan. Di Malaysia, komuter menyediakan koc khas untuk golongan wanita sahaja. Ya, tepat sekali. Wanita sahaja. Jika anda seorang individu berjantina perempuan ataupun anda seorang ibu bersama anak-anak, anda layak berada di koc ini.
“Tak adil! Kenapa hanya sediakan koc untuk wanita?”
“Oh, kaum wanita boleh berada di normal tetapi kaum lelaki tidak boleh berada di koc wanita?”
Mungkin ini di antara luahan sesetengah pihak yang tak terluahkan tentang kewujudan koc wanita. Tetapi, pihak KTMB mempunyai alasan yang kukuh untuk mewujudkan koc wanita. Antaranya adalah:
- Untuk menyediakan satu medium pengangkutan yang selamat dan memudahkan kaum wanita.
- Untuk mengelakkan berlakunya gangguan seksual di persekitaran yang berhimpit dan sempit.
Nak tahu lebih lanjut? Klik sini.
Untuk LRT, Prasarana Malaysia Berhad membolehkan anda untuk melaporkan sebarang kejadian gangguan seksual – sama ada menjadi mangsa ataupun menyaksikan sebarang kejadian berkaitan menerusi aplikasi Whatsapp di talian +6010-7664472. Anda juga boleh menghubungi pihak Prasarana menerusi akaun media sosial Twitter dan Facebook mereka.
Ya, rencana ini penuh dengan informasi sahaja. Maaf jika tiada unsur-unsur humor diselitkan. Penulis juga sedang dalam mode serius. Baik, mari teruskan.
- Makan dan Minum. Di dalam tren komuter dan LRT adalah tempat larangan untuk makan dan minum. Kenapa? Mudah. Untuk menjaga kebersihan tren. yang Bayangkan jika lantai tren melekit dengan jus yang baru tumpah. Apa perasaan anda? Selesa? Oh, jangan risau. Air kosong atau air mineral adalah dibenarkan.
- Toleransi. Simple – beri laluan kepada penumpang yang berada di dalam tren untuk keluar dahulu sebelum anda menaiki tren. Paling utama, tunggu sehingga tren betul-betul berhenti untuk mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini.
- Eskalator. Ramai rakyat Malaysia yang masih lagi tidak peka dengan kedudukan yang betul bila berada di eskalator. Jika anda menaiki mana-mana tangga bergerak, anda harus tetap berdiri di sebelah kiri tangga. Beri laluan untuk mereka yang mahu mendaki tangga bergerak di ruang sebelah kanan tangga. Tak faham? Begini. Ikut rule di lebuh raya – IKUT KIRI JIKA TIDAK MEMOTONG. LORONG KANAN UNTUK MEMOTONG.
Setuju dengan rencana ini? Ada tambahan? Berikan komen anda.