Anda Putus Cinta? Ini Tips Untuk ‘Move On’

Cinta merupakan fitrah manusia yang tidak boleh disangkal kehadirannya. Dalam diri setiap insan, sudah pasti akan ada perasaan cinta tidak kiralah cinta kepada sesiapa sekali pun. Mungkin cinta kepada Yang Esa, cinta terhadap ibu bapa dan cinta kepada kekasih.

Tetapi dalam konteks cinta kepada kekasih, sudah pasti banyak kisahnya. Setiap kehadiran cinta itu tidak semestinya berakhir dengan kebahagiaan kerana ia terputus di tengah jalan.

Pada awal-awal putus cinta sudah pasti memberi kesan yang mendalam kepada individu itu. Mungkin ada yang sampai menangis, berkurung diri, tidak selera makan dan sebagainya. Perkara begini boleh berlanjutan berbulan-bulan jika perasaan itu terus dilayan. Mungkin dek beberapa perkara yang mendorong seseorang itu susah untuk move on.

Dengan pengalaman putus cinta, mungkin kita boleh belajar beberapa perkara. Manusia sentiasa buat kesilapan dan daripada situ ada pengajaran yang perlu kita teladani. Ya, memang bahagia saat bercinta, banyak perkara yang telah dihadapi bersama-sama. Tetapi sayang, ia tidak di akhiri dengan perkahwinan.

Tidak salah untuk mengingati kenangan lama, tetapi biarlah berpada dan ada hadnya. Kita sebagai manusia perlu meneruskan kehidupan seperti biasa. Anggap sahaja itu ketentuan dan tiada jodoh.

Lelaki atau wanita lebih cepat move on? Ia sebenarnya bergantung kepada individu itu sendiri. Ada yang mengatakan wanita broken pada awal-awal putus cinta, kemudian mereka cepat move on. Terbalik dengan lelaki, pada awalnya mungkin mereka tidak rasa apa-apa. Tetapi lama-kelamaan perasaan itu datang kembali dan membuatkan mereka susah untuk melupakan. Lebih-lebih lagi yang benar-benar sayang.

Jadi, apa perkara atau tips yang boleh dilakukan untuk melupakan seseorang selepas putus cinta? Ada beberapa perkara yang boleh dilakukan, antaranya ialah:-

  • Sibukkan diri dan berjumpa dengan kawankawan.

Pertama, kita boleh sibukkan diri dengan banyak perkara. Contohnya, kita sibukkan diri dengan membuat kerja, pergi berjumpa dengan kawan-kawan dan buat apa perkara yang patut sehingga kita tiada masa untuk layan perasaan. Lama-kelamaan, percayalah perasaan kecewa akan hilang secara perlahan-lahan. Apa yang penting, anda ingin untuk melupakan.

  • Luangkan masa untuk diri sendiri dengan buat perkara yang kita gemari.

Yang kedua, kita boleh lakukan apa yang kita suka dan luangkan masa untuk diri sendiri. Waktu inilah kita bebas untuk buat apa sahaja. Contohnya, kita ingin mengisi masa kita untuk hobi dan buat apa yang kita minat . Mungkin semasa bercinta dahulu anda tidak dapat nak layan hobi, masa beginilah waktu paling tepat untuk lakukan apa yang diingini.

  • Pergi bercuti untuk hilangkan stres dan masalah.

Seterusnya, anda boleh pergi bercuti tenangkan fikiran. Kebanyakkan orang akan hilang masalah dan beban difikiran jika pergi bercuti ke tempat yang menarik dan tenang. Contohnya, pergi ke pantai atau pulau dan sebagainya. Tempat-tempat tenang begini sesuai untuk kita rehatkan minda dan diri kita daripada kehidupan seharian. Sudah pasti ia dapat bantu anda untuk melupakan kekasih lama.

  • Muhasabah dan perbaiki diri.

Kita perlu muhasabah dan merenung diri kita semula. Kita perlu melihat dan sedar segala kekurangan untuk kita diperbaiki dan menjadi insan yang lebih baik. Kita boleh untuk lebih banyak melakukan ibadah, lebih menghargai ibu bapa, keluarga dan juga kawan-kawan. Mungkin semasa bercinta, kita terlalu tertumpu kepada kekasih sahaja hingga kita lupa pada yang lain. Setelah putus dengan kekasih, inilah masa yang tepat untuk kita perbaiki hubungan kita dengan semua.

Kesimpulannya, yang paling penting ialah terletak pada diri sendiri, sama ada pilih untuk melangkah ke hadapan atau terus menoleh ke belakang. Hidup akan bahagia juga walaupun tiada kekasih di sisi jika anda menghargai diri sendiri dan juga orang sekeliling. Jodoh pertemuan itu sudah ditakdirkan, jadi kita tidak perlulah terlalu kecewa jika putus cinta. Jodoh akan tiba jua apabila sampai waktunya.

YouTube Lejen Tv ada berkongsi video tentang isu putus cinta. Dalam video itu memperlihatkan beberapa orang ditemuramah secara santai tentang pengalaman mereka putus cinta. Selamat menonton!

Untuk baca artikel lain yang berkaitan dengan cinta, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca