Anda Mempunyai Tabiat Berjaga Malam? Ini Adalah Puncanya

Setiap individu memerlukan waktu tidur yang mencukupi. Hal ini demikian kerana rehat yang cukup dapat membantu seseorang individu untuk mengumpul kembali tenaga yang telah digunakan dalam menjalani aktiviti seharian.

Namun begitu, masih terdapat sesetengah individu yang mempunyai tabiat berjaga pada waktu tengah malam, terutamanya pelajar. Tabiat berjaga pada waktu malam tidak harus diamalkan kerana ia boleh memberi impak kepada tubuh badan anda.

Terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan tabiat berjaga pada waktu malam.

1. Leka dengan gajet

Pada era globalisasi ini, gajet menjadi fokus utama kepada setiap individu. Kewujudan dunia di hujung jari juga telah menjadi punca seseorang individu itu mencari pelbagai maklumat sehingga terleka.

Waktu malam merupakan fitrah bagi umat manusia untuk beristirehat. Namun begitu, dengan teknologi serba canggih pada hari ini sering menyebabkan seseorang individu itu berjaga sehingga awal pagi. Cahaya biru yang terpancar menyebabkan individu tersebut berasa tidak mengantuk dan leka walaupun sudah lewat malam.

2. Suhu yang panas di dalam bilik

Suhu di dalam bilik memainkan peranan yang penting bagi seseorang individu itu untuk mendapatkan tidur yang selesa. Kajian juga mendapati bahawa tidur dalam kepanasan akan menjejaskan emosi serta kemahiran berfikir. Oleh itu, kita haruslah memastikan suhu dalam bilik berada pada suhu dan kelembapan yang sesuai.

3. Kerap rasa lapar pada waktu malam

Perut yang lapar juga akan menyebabkan seseorang itu berjaga hingga ke pagi. Selain daripada berlapar, tabiat berjaga pada waktu malam boleh menyebabkan obesiti dan diabetes. Mengapa perkara ini berlaku? Apabila lapar, sudah pastinya kita akan menjamah makanan. Makan pada lewat malam akan menjejaskan metabolisme badan serta perubahan hormon (insulin dan kortisol) jika seseorang individu tersebut mengambil makanan berkarbohidrat serta mengandungi kandungan gula yang tinggi.

Penulis:

  •  Nur Alisa Farhana Binti Mohd Zukari adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Untuk membaca lebih banyak artikel lain, klik pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca