Anda Kelihatan Normal? Ini 6 Tanda-Tanda Anda Mengalami ‘Anxiety Disorder’

Apakah itu Anxiety Disorder?

Anxiety disorder merupakan satu penyakit mental yang tidak sihat dan sangat serius di mana seseorang itu mengalami gangguan kebimbangan yang berlebihan dan menyebabkan seseorang itu berasa tidak yakin pada diri sendiri sehingga kehidupannya terganggu.

Ini mungkin nampak normal bagi orang yang mengalami cemas dan berdebar-debar apabila setiap kali ingin berjumpa dengan orang atasan di tempat kerja, harus membentangkan kertas kerja ataupun ketika perlu menghadapi pelbagai masalah hidup terutamanya para pelajar yang sedang mengalami masalah ketika belajar.

Tetapi bagi orang yang mengalami cemas dan berdebar-debar yang berlebihan setiap kali dalam urusan kehidupan seharian, anda adalah tidak normal. Menurut pakar psikiatri, anda mungkin mengalami penyakit tersebut. Maka dengan ini saya menyatakan tanda-tanda tersebut menunjukkan anda sedang mengalami penyakit anxiety disorder.

1. Gangguan tidur

Setiap kali ingin masuk tidur, otak anda akan berfungsi semula dengan mengingati peristiwa yang berlaku siang hari.

Namun apabila anda menghadapi sesuatu masalah, anda akan berasa risau dan tidak tenang, malah susah untuk memejamkan mata kerana terbayang peristiwa yang berlaku siang hari tadi setiap masa. Selagi masalah itu tidak selesai, anda akan rasa risau dan cemas yang melampau.

Sebagai contohnya, anda dikacau oleh seseorang. Mungkin bagi orang lain, itu merupakan perkara biasa dan dianggap sebagai gurauan. Tetapi berbeza bagi anda yang mengalami penyakit anxiety disorder itu, ia seperti menghantui diri anda.

2. Bimbang dan takut sepanjang masa

Apabila anda mengalami anxiety disorder, anda sentiasa dalam keresahan pada kebanyakan hari dan perasaan itu berterusan selama enam bulan. Ia boleh menjadi terlalu kronik sehingga perkara harian yang remeh pun sering dirisaukan.

Ini akan menyebabkan aktiviti harian anda terganggu. Manakala tubuh dan minda akan berasa letih yang sangat luar biasa. Kita dapat lihat perbezaan antara anxiety disorder dan keresahan biasa adalah apabila emosi anda menyebabkan anda menderita dan hidup menjadi tidak terurus.

Bagi orang normal, perasaan takut mestilah bersebab. Tetapi bagi anda yang menggalami anxiety disorder, ketakutan yang anda rasai itu kadang-kadang tidak mempunyai sebab dan ini sangat membahayakan anda. Anda akan berasa sangat takut dengan sesuatu hal yang anda sendiri tidak dapat menjelaskannya secara logik akal apa alasan ketakutan anda itu.

3. Keraguan diri sendiri atau overthinking

Jika anda tidak mahu mengawal kebimbangan anda akan sesuatu hal, maka berhati-hatilah agar anda tidak tergolong dalam anxiety disorder ini.

Jika anda rasa anda mempunyai kerisauan atau kebimbangan yang melampau, anda boleh merujuk atau berjumpa dengan pakar psikiatri jika anda tidak pasti anda mengalaminya atau tidak. Ini bukan bermaksud anda seorang yang gila. Tidak semua orang yang berjumpa pakar disebabkan masalah ini. Anda harus membuka minda anda terhadap penyakit mental ini.

Kalau anda boleh mengawal perasan risau dan cemas anda itu, tahniah saya ucapkan. Bagi yang belum, saya nasihatkan pergilah berjumpa dengan pakar psikiatri ataupun pakar kaunseling agar dapat membantu anda membuang sedikit demi sedikit perasaan negatif tersebut.

4. Nervous breakdown

Apabila seseorang itu sedang mengalami anxiety disorder biasanya mereka suka memendam perasaan. Namun apabila kebimbangan atau sesuatu yang mengganggu perasaannya memuncak, berlakulah nervous breakdown seperti tiba-tiba marah, menjerit, atau mengamuk hingga hilang rasa malu dan takut.

Selain itu, ada sesetengah orang pula sering pengsan apabila terlalu stres. Mereka yang kerap memendam perasaan ini selalu berasa sedih ketika dipulau, dihina dan diejek oleh orang awam. Perkara ini sering terjadi dalam golongan pelajar yang berusia 12 tahun ke atas kerana ketika itu mereka sedang belajar untuk memilih kawan.

5. Terlampau fokus pada komen negatif

Kebanyakan orang yang mengalami anxiety disorder selalu memikirkan kata-kata negatif yang dikatakan oleh orang sekelilingnya. Tidak kiralah berapa banyak hal positif yang diungkapkan tentang kerja atau diri seseorang, anxiety disorder menyebabkan seseorang tetap cenderung untuk fokus kepada bahagian yang negatif sahaja.

Disebabkan itu, ia menyebabkan seseorang itu akan mempunyai perangai yang terlalu cerewet dan obsesif terhadap kesempurnaan hingga berasa takut untuk gagal.

6. Panic attack

Ramai tidak tahu bahawa panic attack mudah terjadi apabila anda mengalami anxiety disorder dan perkara ini tidak boleh dipandang remeh kerana ia melibatkan kesihatan jantung anda. Serangan panik boleh terjadi apabila anda risau kepada sesuatu yang menakutkan kerana ia serupa dengan serangan jantung.

Seseorang yang diserang panic attack akan berasa sukar bernafas, sakit dada, pening, berpeluh-peluh, menggigil, jantung berdebar, sakit perut dan lemah tubuh badannya. Bukan semua orang yang mengalami serangan panik ini mengalami anxiety disorder, tetapi mereka yang mengalaminya berulangkali perlu berjumpa doktor untuk mengesahkannya.

Penulis:

  • Nur Aisyah Huda Binti Kamarulzaman adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Untuk membaca lebih banyak artikel lain, klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca