Ancam Serang Rumah Putih, Iran Kini ‘Tawar’ RM320 Juta Untuk Kepala Trump

Satu ganjaran berjumlah 80 juta dollar Amerika (RM320 juta) telah ditawarkan oleh kerajaan Iran kepada sesiapa sahaja yang berjaya membunuh Presiden Amerika Syarikat yakni Donald Trump.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan ketika jenazah Jeneral Qaseem Soleimani di arak di Mashhad susulan insiden pembunuhannya pada 3 Januari lalu.

Penganjur majlis pengebumian Soleimani turut menyeru rakyat Iran untuk menderma 1 dolar Amerika (RM4.10) setiap seorang bagi mencukupkan jumlah ganjaran yang ditawarkan itu.

Jeneral Qaseem Soleimani yang memegang jawatan sebagai Ketua Tentera Elit Quds, Kor Pengawal Revolusi Iran telah terbunuh dalam satu serangan udara Amerika Syarikat di Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad pada Jumaat lalu.

Serangan terbabit mengakibatkan ketegangan hubungan antara Washingon dan Tehran memuncak dan warganet seluruh dunia menyuarakan kegusaran risiko perang dunia ketiga bakal tercetus.

Awal hari ini, seorang ahli parlimen Iran, Abolfazl Aboutorabi telah mengancam untuk menyerang Rumah Putih.

“Kami boleh menyerang Rumah Putih. Kami boleh membalas tindakan mereka di tanah Amerika,” ujarnya.

“Kami mempunyai kuasa dan sekiranya Tuhan membenarkan, kami akan membalas dalam masa yang sesuai.”

Beliau turut menambah, kata-katanya itu adalah satu pengistiharan perang dan mana-mana pihak yang teragak-agak akan kecundang.

Dalam satu sesi parlimen terbuka di Tehran, Presiden Donald Trump digelar pengganas bersut setelah beliau mengancam bakal menyerang 52 kawasan di Iran sekiranya kerajaan terbabit melancarkan serangan terhadap aset Amerika atau rakyat mereka.

Sementara itu, Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei sudah berjanji pada Jumaat lalu bahawa Iran akan membalas dendam terhadap kematian jeneral yang disanjungi itu.

Sehingga kini, keputusan untuk membunuh Jeneral Qaseem Soleimani masih dipersoalkan beberapa orang ahli politik Amerika Syarikat yang rata-ratanya tidak melihat keperluan yang cukup untuk serangan berkenaan dijalankan.

Untuk membaca artikel lain berkaitan krisis dunia, sila klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca