Angkat Tradisi Melayu, Graduan Ini Tampil Bertanjak Di Majlis Konvokesyen Universiti Oxford

Tidak mahu tradisi pemakaian tanjak ditelan zaman, seorang graduan doktor falsafah dari Malaysia, Dr. Khair Razlan Othman lebih memilih untuk memakai tanjak berbanding mortar board ketika menghadiri majlis konvokesyen di Universiti Oxford, United Kingdom Sabtu lalu.

Cerita ini mendapat perhatian daripada warganet selepas Dr. Khair Razlan berkongsi sendiri gambar dan videonya mengenakan tanjak di laman sosial Facebook.

Anak kelahiran Felda Tunggal, Kota Tinggi, Johor ini menjelaskan bahawa sebelum tampil dengan imej sedemikian, beliau sudah meminta keizinan daripada proktor kolej untuk mengenakan tanjak tradisional dan permintaannya itu diterima.

Melalui tulisannya di Facebook, pensyarah berumur 39 tahun ini turut menzahirkan rasa terima kasih kepada bapanya yang turut bertanjak serta ibunya atas doa yang tidak kunjung putus, serta isterinya yang sentiasa menemaninya sepanjang perjalanannya menuntut ilmu di sana.

Menurutnya, dia ingin memperkenalkan budaya dan pakaian tradisional Malaysia kepada masyarakat di sana. Beliau berharap agar masyarakat Melayu khasnya tidak malu untuk menggayakannya.

Team Lejen Digital mengucapkan tahniah kerana telah menamatkan pengajian anda!

Untuk membaca artikel lain yang berkaitan, klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca