Anak Maut Dilanggar Bas Universiti, Wanita Ini Nekad Tuntut Pampasan Lebih RM8 Juta

Seorang wanita di Thailand menuntut pampasan sebanyak 66 juta baht (RM8,227,475) daripada Universiti Khon Kaen selepas insiden anak perempuannya menghembuskan nafas terakhir kerana dilanggar bas universiti berkenaan pada 10 Ogos lalu.

Pemandu bas tidak memandu di bawah pengaruh dadah atau alkohol ketika kemalangan

Sumber: Thaiger

Memetik laporan Thaiger, rakaman sebuah kamera keselamatan mendapati dua orang pelajar yang menaiki motosikal sedang menunggu lampu isyarat di sebuah persimpangan jalan ketika mereka dirempuh bas universiti itu.

Kedua-dua mangsa merupakan pelajar Fakulti Perubatan di universiti berkenaan. Penunggang lelaki terbabit mengalami kecederaan parah manakala pembonceng wanita yang berusia 19 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian.

Bas itu dipercayai merupakan milik Fakulti Kejururawatan di universiti sama. Pemandu bas yang dikenali sebagai Surasak Seehawat menyerah diri di tempat kejadian dan menegaskan bahawa dia tidak nampak motosikal itu ketika mahu membelok kanan.

Seorang pegawai polis dari Balai Polis Mueng Khon Kaen melaporkan bahawa Surasak tidak berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol ketika kemalangan itu berlaku.

Tertuduh berusia 36 tahun itu bagaimanapun berdepan dengan dakwaan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kecederaan parah dan kematian.

Pihak universiti tidak ambil tindakan untuk halang kemalangan daripada berulang

Abang mangsa iaitu Weerawat Yukthirat yang pernah menyambung pengajian di universiti sama menjelaskan bahawa kemalangan sering berlaku di kawasan kejadian itu.

Lelaki itu turut mendakwa pihak universiti tidak mengambil sebarang tindakan untuk menghalang perkara tersebut daripada terus berulang.

Weerawat turut menggesa pihak universiti menyiasat punca kemalangan sama ada kerana pemandu memandu secara melulu ataupun pengurusan trafik yang tidak sesuai di kawasan itu.

Pihak universiti masih belum beri pampasan kepada keluarga mangsa

Ibu mangsa iaitu Nittaya Rungsatit memaklumkan kepada wakil-wakil universiti berkenaan bahawa dia mahu pampasan sebanyak 66 juta baht (RM8,227,475) dengan menjelaskan ia merupakan pendapatan yang bakal diperoleh anak perempuannya selepas menamatkan pengajian dan bergelar seorang doktor.

Wanita itu berkata mendiang anaknya yang dikenali sebagai Eye akan menamatkan pengajian pada 25 tahun dan bekerja sebagai seorang doktor sehingga dia berusia 60 tahun dan dijangka memperoleh 5,000 baht (RM623) sehari jadi pampasan yang setimpal adalah kira-kira 66 juta baht.

Wanita berusia 55 tahun itu menyatakan bahawa dia masih belum menerima pampasan sebanyak 130,000 baht (RM16,192) yang dijanjikan oleh pihak universiti kepada dirinya dan suami 12 hari lalu.

Anda boleh tonton video kejadian di sini.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca