Anak Gemar Bermain Gajet, Ibu Bapa Perlu Pantau Kesihatan Mata Anak

Zaman sekarang gajet merupakan sesuatu yang tak dapat dipisahkan dalam kehidupan seharian. Mana taknya, semua benda lebih mudah dengan adanya gajet seperti telefon pintar atau komputer riba. Baik golongan dewasa mahupun kanak-kanak, tak sah kalau sentuh gajet. Ada kalanya tu, sampai tak boleh berenggang!

Bagi kanak-kanak khususnya, tempoh terlalu lama bermain gajet boleh merosakkan daya penglihatan mereka. Bahkan, bagi tempoh masa panjang, mereka mungkin mengalami masalah penglihatan. Sekiranya perkara ini berlaku, ia akan mengganggu prestasi anak-anak dalam pelajaran.

 

 

Jadi, penting untuk ibu ayah peka terhadap masalah rabun serta kerosakan mata yang boleh berlaku seawal usia kanak-kanak.

Berikut merupakan tanda-tanda kabur penglihatan pada kanak-kanak yang perlu ibu bapa peka:

  • membaca atau menulis pada jarak yang terlalu dekat
  • kesukaran menulis atau menyalin semula apa yang ditulis oleh cikgu di papan hitam / putih
  • kerap meniru kawan kerana tak nampak apa yang ditulis atau ditunjukkan oleh cikgu di hadapan
  • suka menonton TV dari jarak dekat
  • sensitif terhadap cahaya, mata kerap berair
  • sukar menganggarkan jarak
  • mengadu melihat objek menjadi dua (double vision)

 

Tabiat Semasa Menonton Televisyen/ Penggunaan Gajet

 

 

Walaupun kita tak mungkin dapat mengelakkan anak daripada menonton TV atau menggunakan gajet 100%, ibu bapa masih boleh menyelia dan mengawal penggunaannya.

Bagi mengelakkan kerosakan mata, terdapat beberapa perkara yang perlu ibu bapa beri perhatian

  • Anak kecil berumur 2-5 tahun pula dinasihatkan meminimakan penggunaan gajet selama 1 jam sehari,  di mana 1 jam ini perlu dipantau oleh ibu bapa dan diisi dengan program yang berfaedah.
  • Anak berusia 5-18 tahun pula perlu dihadkan penggunaan gajet dan dipantau penggunaannya bersama ibu bapa. Tidak boleh menggunakan gajet sebelum masuk tidur dan semasa waktu makan.
  • Elakkan menonton TV atau membaca dalam keadaan kurang pencahayaan.
  • Banyakkan aktiviti luar.

 

Selain itu, terdapat beberapa tips yang boleh dilakukan oleh ibu bapa bagi mengelakkan mata rosak. Antaranya ialah kaedah 20-20-20 iaitu:

  • Berhenti dan berehat daripada melihat skrin untuk setiap 20 minit
  • Pastikan anak-anak melihat sesuatu yang jaraknya lebih kurang 20 kaki selama 20 saat,
  • Jaga jarak penglihatan dan pencahayaan yang cukup.

Ibu bapa perlu sedar bahawa peningkatan rabun jauh di kalangan kanak-kanak merupakan isu yang semakin melarat di serata dunia. Masalah penglihatan ini bukan saja boleh mengehadkan kemampuan fizikal anak, tetapi ia mungkin akan menjejaskan pembelajaran mereka.

Jadi ibu ayah jangan ambil remeh. Pantau dan selia penggunaan gajet anak-anak kita mulai hari ini ya!

 

Artikel Lain Untuk Di Baca