Anak Emas Menjadi Pembunuh, Ini Kisah Penipuan Jennifer Pan Yang Berakhir Tragedi

Buat seketika, Jennifer merupakan anak emas kepada pasangan imigran Huei Hann dan Bich Ha. Dia merupakan seorang pelajar cemerlang dan menjadi kebanggaan keluarga apabila memenangi biasiswa ke Universiti Toronta sebelum bekerja di sebuah hospital.

Namun, siapa sangka itu semua hanyalah satu penipuan.

Latar belakang

Jennifer Pan dilahirkan pada 17 Jun 1986. Kedua ibu bapanya, Huei Hann dan Bich Ha merupakan warga Vietnam yang telah berhijrah ke Canada pada 1979. Pasangan itu bekerja di sebuah kilang automobil di Aurora, Ontario. Kegigihan pasangan itu bekerja akhirnya membuahkan hasil apabila pada 2004, mereka mampu memiliki rumah yang besar dengan garaj yang boleh memuatkan dua buah kereta. Wang simpanan mereka pula pada ketika itu dianggarkan berjumlah RM632 ribu.

Huei Hann dan Bich Ha mempunyai harapan yang tinggi terhadap dua anak mereka, Jennifer dan Felix. Sejak berusia 4 tahun, Jennifer sudah dipaksa menghadiri kelas piano dan kelas luncur ais. Ini bermakna hampir seluruh masa Jennifer diisi dengan kehadirannya ke kelas-kelas tersebut.

Menurut rakan sekolah tinggi Jennifer bernama K. Ho, dia sering melihat ibu bapa Jennifer mengambilnya dari sekolah dan akan memerhatikan anak mereka itu dengan sangat teliti. Jennifer juga tidak dibenarkan bercinta atau menghadiri mana-mana acara di sekolah kerana bimbang pelajaran gadis itu akan terganggu. Jennifer pernah memberitahu K.Ho bahawa peraturan ibu bapanya itu sangat ketat.

Jennifer mula menipu dengan memalsukan kad laporan kelasnya. Dia yang sering mendapat gred B telah menukar semua markah peperiksaan kepada gred A agar tidak mengecewakan harapan ibu bapanya. Namun begitu, semasa di tahun akhir sekolah tinggi, Jennifer telah gagal kelas Calculus dan menyebabkan dia gagal ke universiti. Sejak itu, Jennifer telah mula mencipta satu penipuan besar yang menunjukkan dirinya sebagai seorang pelajar gred A.

Jennifer telah menipu kedua ibu bapanya dengan berkata dia sudah diterima masuk ke Universiti Toronto dalam bidang farmakologi. Untuk mengukuhkan penipuan itu, Jennifer sanggup menghabiskan wang membeli buku-buku rujukan bagi membuat nota palsu untuk ditunjukkan pada Huei Hann dan Bich Ha.

Selain itu, Jennifer menipu dengan berkata dia harus tinggal di kampus selama beberapa hari kerana mempunyai tugasan. Walhal, gadis itu sebenarnya tinggal bersama teman lelakinya, Daniel Chi-Kwong Wong.

Jennifer dan Daniel sebenarnya sudah lama bercinta semenjak di sekolah tinggi lagi. Namun perkara tersebut dirahsiakan daripada diketahui oleh sesiapa pun. Daniel yang dahulu bersekolah di tempat yang sama dengan Jennifer dipindahkan kerana mendapat keputusan yang teruk. Lelaki itu turut merupakan seorang pengedar marijuana.

Penipuan Jennifer ini berlangsung selama empat tahun lamanya.

Penipuan terbongkar

Kehidupan Jennifer yang penuh dengan kepura-puraan menemui penamatnya apabila ibunya mengekori gadis itu ke tempat kerjanya. Cerita Jennifer yang dikatakan sedang bekerja di sebuah hospital diragui ibu bapanya apabila gadis itu tidak mempunyai tanda pengenalan hospital ataupun uniform seorang doktor.

Menyedari kesilapan yang dilakukan, Jennifer akhirnya mengaku bahawa dia tidak pernah menamatkan sekolah tinggi. Wanita itu turut mendedahkan bahawa kebanyakan masanya dihabiskan di perpustakaan dan dengan bekerja di sebuah kafe bersama teman lelaki.

Selama 18 bulan, Jennifer mengibaratkan kehidupannya seperti tahanan. Kemana dia pergi, pasti ibu bapanya akan mengekor. Wanita itu turut dilarang untuk berhubung dengan teman lelakinya.

Tidak tahan dengan perkara itu, Jennifer mula berfikir apa yang akan berlaku sekiranya ibu bapanya tiada. Menyedari dia mungkin bakal menerima wang simpanan keluarga berjumlah RM1.5 juta, Jennifer mula berhubung semula dengan Daniel dan merancang untuk menghapuskan Huei Hann dan Bich Ha.

Pembunuhan

Pada 8 November 2010, Jennifer dengan sengaja membiarkan pintu rumahnya tidak berkunci sebelum masuk tidur. Tiga orang lelaki, Lenford, Eric dan David memasuki rumah tersebut. Kesemua mereka bersenjatakan pistol. Huei Hann, Bich Ha dan Jennifer dibawa ke bilik bawah tanah.

Jennifer telah diikat tangan dan kakinya. Bich Ha yang merayu agar anak gadisnya tidak diapa-apakan mati ditembah di kepala. Huei Hann turut ditembak namun tanpa mereka sedari, lelaki itu terselamat. Setelah penjenayah beredar, Jennifer menelefon talian kecemasan.

Pengakhiran Jennifer Pan

Selepas koma selama tiga hari, Huei Hann akhirnya sedar. Lelaki itu memberitahu polis bahawa anaknya, Jennifer merupakan dalang di sebalik pembunuhan isterinya.

Setelah dibawa ke balai polis, Jennifer mengaku bersalah kerana merancang pembunuhan terhadap ibu bapanya. Pengakuan gadis itu telah membawa kepada penahanan Daniel dan tiga orang suspek yang memecah masuk ke rumah keluarga Jennifer.

Apabila disoal mengenai motif pembunuhan, Jennifer hanya berkata dia mahukan kebebasan dan tidak mahu lagi mengikut peraturan ibu bapanya yang disifatkan ibarat pemerintahan kuku besi.

Jennifer, Daniel, Lawrence dan David didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara seuumur hidup. Eric pula hanya mendapat hukuman selama 18 tahun setelah terlebih dahulu mengaku atas pembunuhan Bich Ha itu.

Semasa perbicaraan, Huei Hann tidak langsung datang ke mahkamah. Namun, lelaki itu sempat menulis sesuatu buat Jennifer.

“Apabila isteri saya mati, saya turut hilang anak gadis saya. Saya rasa seperti tidak mempunyai keluarga lagi. Saya juga telah mati,” ujar Huei Hann dalam penulisannya.

Salah seorang keluarga Jennifer telah membuat permintaan khusus ke mahkamah bahawa Jennifer dilarang sama sekali untuk berhubung dengan ahli keluarganya walaupun untuk meminta maaf.

Artikel Lain Untuk Di Baca