Anak ‘Dakwa’ Selebriti Langgar SOP, Zarina Zainuddin Tampil Mohon Maaf

Muhammad Raizal Azrai Abu Raihan atau lebih dikenali sebagai Azal Azrai menjadi bualan ramai selepas beliau memuat naik satu hantaran di laman Instagram yang mendakwa beberapa orang selebriti telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika menghadiri majlis perkahwinan Neelofa dan PU Riz.

Anak kepada aktres ternama Zarina Zainuddin itu memuat naik satu hantaran yang berbunyi, “Ini adalah artis Malaysia yang menjadi suspek dan hadir ke majlis perkahwinan Neelofa.

Ia termasuk Izara Aishah, Adib Khalid, Scha Alyahya, Awal Ashaari, Hannah Delisha dan suami yang tidak memakai pelitup muka sepanjang majlis tersebut. Selain itu, mereka tidak menjaga penjarakan fizikal dan melanggar SOP!”

Sumber: Instagram @azal_azrai

Pelakon 30 Pesanan Suara itu turut menegur anaknya dalam nada bergurau, “Aduh dia jadi polis pula. Dah tak ada kerja lain ke menyibuk hal orang? Azal jadi wartawan lah, dapat gaji.”

Dalam pada itu, Zarina tampil memohon maaf kepada rakan-rakan artis yang mana nama mereka dipetik oleh Azal dalam hantaran beliau. Aktres itu juga bimbang sekiranya rakan artis tersebut tersinggung dengan tindakan anak istimewanya.

“Saya pun perlu menjaga hati orang. Sebagai manusia, saya juga ada melakukan kesalahan. Kadang-kadang, kita terlepas pandang,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Zarina lagi, Azal yang menghidap autisme menulis atau mengeluarkan kata-kata mengikut hatinya, “Dia sendiri mengendalikan akaun Instagram itu.

Azal memang seorang anak yang jujur dan tidak tahu nak cakap berpusing-pusing. Dia suka tengok berita dan tahu banyak perkara tentang isu semasa. Sudah macam wartawan pula.

Saya kadang-kadang sibuk dengan urusan kerja dan tidak sempat nak memantau. Jadi, kalau ada benda yang dirasakannya tidak betul, dia akan cakap secara terus.”

Sumber: Oh Bulan

Zarina turut berkata Azal memang seorang yang benar-benar menjaga SOP setiap kali keluar atau menemaninya ketika berada di lokasi penggambaran.

“Azal sendiri sangat menjaga SOP. Dalam begnya, ada banyak cecair pembasmi kuman dan dia selalu bawa banyak pelitup muka. Kalau masuk ke pusat beli-belah, dia akan imbas kod MySejahtera dan suhu badan dari pintu masuk hingga ke semua kedai.

Kadang-kadang, dia ingatkan saya juga untuk menjaga penjarakan fizikal, selalu memakai pelitup muka dan jaga SOP,” katanya.

Apa pendapat anda tentang kenyataan Azal?

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca