Amy Tinggalkan Kumpulan Search

Penyanyi utama kumpulan Search, Suhaimi Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Amy Search telah mengumumkan pengundurannya daripada band yang ditubuhkan pada 1981 itu.

Amy membuat pengumuman itu dalam segmen #ArtisDudukDiam yang disiarkan secara langsung oleh Astro Gempak, kira-kira jam 3.30 petang tadi.

“Saya dengan ini secara rasmi mengumumkan untuk mengundurkan diri sebagai vokalis Search,” ucap Amy yang membuat para peminat yang sedang mengikuti siaran langsung tersebut terkejut.

“Saya gembira dengan keputusan ini. Muktamad dan saya tidak akan berpatah balik. Saya harap mereka boleh merancang sesuatu untuk masa hadapan Search.”

Demikian reaksi Amy Search mengulas keputusan mengundurkan diri daripada kumpulan itu.

“Ini bukan keputusan terburu-buru. Sebaliknya, sudah lama saya fikirkan. Bagaimanapun, saya bukanlah berhenti terus daripada menyanyi. Jika ada undangan yang mahukan saya menyanyi, saya akan pergi.”

Bapa kepada pelakon Nabila Huda itu mengakui hakikat bahawa faktor kualiti vokalnya yang semakin menurun menjadi antara punca dia mengundurkan diri.

Sementara itu, pemain bass Nasir Daud berkata, dia reda dengan keputusan Amy.

Menurut Nasir, mereka tidak terkejut dengan berita itu kerana sudah menjangka perkara tersebut akan terjadi sekali lagi.

“Sebelum ini, kami sering berhubung melalui aplikasi WhatsApp. Biar lambat sekali pun, Amy akan menjawab pesanan yang dihantar. Namun, sejak kira-kira empat bulan lalu, Amy tidak menjawab pesanan atau panggilan telefon.

“Lagipun Amy sudah tiada hati, takkanlah kami hendak berlutut dan menangis minta dia tarik balik keputusan. Hidup perlu diteruskan, kami ada tanggungjawab dan komitmen yang perlu dilunaskan. Lebih baik kami fokus kepada Search bersama Datuk Awie” katanya.

Tambah Nasir lagi, kesukaran menghubungi Amy menyebabkan mereka menghadapi masalah menerima tawaran persembahan. Mereka bimbang dilabel besar kepala dan sukar bekerjasama.

Walau bagaimanapun, ini bukan kali pertama Amy mengundurkan diri daripada Search. Penyanyi yang berasal dari Johor itu pernah meninggalkan kumpulan yang mencetuskan fenomena dengan lagu Fantasia Bulan Madu pada tahun 1994 bagi memulakan karier solonya.

Dia kemudian muncul dengan album berjudul Magic dan memenangi Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album dalam Anugerah Industri Muzik ke-2 pada tahun 1995.

Untuk membaca artikel lain berkaitan artis tempatan, sila klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca