Manchenster City telah menjadi wakil kelab Inggeris ketiga yang mara ke suku akhir Liga Juara-Juara apabila menang besar ke atas wakil Jerman, Schalke 04, awal pagi tadi. Kemenangan 7-0 itu sekaligus meranapkan impian Schalke untuk mencipta kejutan mara ke peringkat seterusnya. Terdahulu, City menang 3-2 pada aksi pertama di tempat lawan.
Tirai jaringan dibuka menerusi jaringan penalti pada minit ke-35 apabila penyerang Argentina, Sergio Aguero tenang menyempurnakan sepakan penalti tersebut. Aguero meledak gol kedua bagi memastikan City mendahului 3 minit kemudian.
Pesta gol di Etihad berterusan apabila bekas pemain Schalke, Leroy Sane bertindak menggandakan kelebihan tersebut dengan meledak gol ketiga City menerusi satu gerakan yang sangat menarik. Bersambung waktu rehat, giliran Raheem Sterling dan Bernardo Silva pula yang mencetak nama sebagai penjaring gol meletakkan City selesa mendahului 5-0.
Pemain termuda City, Phil Foden yang masuk sebagai pemain gantian turut mencipta nama sebagai penjaring gol selepas meledak gol pertamanya di peringkat saingan Eropah pada minit ke-78. Pemain Brazil, Gabriel Jesus melengkapkan kemenangan terbesar skuad kendalian Pep Guardiola dalam kancah Liga Juara-Juara apabila dia menjaringkan gol ketujuh pada minit ke-84.
Ini merupakan kali pertama sejak 2011 kita menyaksikan sekurang-kurangnya tiga kelab Inggeris mara ke peringkat lapan pasukan terkahir. Skuad kendalian Guardiola ini dilihat berpeluang untuk mara lebih jauh dalam kejohanan ini apabila pasukan pilihan seperti Real Madrid dan Paris St Germain telah tersingkir lebih awal.
“Ia keputusan yang baik. Kami tidak bermula dengan baik, kami agak berhati-hati ketika beraksi. Namun selepas kedudukan 1-0, kami tenang dan mengambil keputusan untuk beraksi lebih baik dan agresif,” kata Guardiola.
Skuad bimbingan Domenico Tedesco yang turut berdepan nasib terumbang ambing dalam saingan Bundesliga mula diejek peminat mereka apabila mencatatkan kekalahan terbesar buat wakil Jerman itu dalam saingan Liga Juara-Juara.
“Kamu boleh bayangkan bagaimana perasaan saya. Sangat teruk. Kami bermain baik untuk 30 minit, tetapi selepas bolos 1-0, kami menunjukkan prestasi yang merudum,” kata Tedesco.