‘America’s Unknown Child’, Kisah Pemergian Misteri Si Kecil Di Dalam Kotak

Terlalu banyak kes yang melibatkan kematian yang susah dirungkai, sesuatu yang tidak dapat diselesaikan dan akhirnya dilabelkan sebagai unsolved. Kalau di Malaysia, anda pasti tahu akan kes kehilangan kapal MH370 dan pemergian seorang warga Mongolia yang bernama Altantuya Shariibuu yang tidak ada pengakhirannya.

Kes yang akan diceritakan ini adalah salah satu kes yang amat popular di Amerika di mana seorang budak lelaki dijumpai maut di dalam kotak pada 25 Februari 1957 di Philadelphia, Amerika Syarikat. Sehingga kini, terlalu banyak andaian, teori dan spekulasi dibuat untuk mencari jawapan dan identiti si kecil tersebut. Siapakah dia? Bagaimanakah ia maut? Siapakah yang mengambil nyawanya?

Si kecil ini ditemui dalam keadaan yang bersih seperti baru dimandikan, hanya berbalut dengan selimut serta tidak berpakaian dan beberapa luka di anggota badannya. Direkodkan, punca pemergiannya adalah daripada kesan luka dan trauma di kepala seperti dipukul dengan objek yang tumpul. Anehnya, seorang lelaki muda yang menjumpai mayat ini menunggu sehingga keesokan hari untuk memfailkan laporan kepada pihak polis.

Pihak polis menyebarkan poster dan risalah kepada orang ramai dengan harapan dapat membantu mencari identiti dengan waris si kecil ini tetapi gagal. Kemudian, mereka membuat perbandingan cap jari dan tapak kaki di dalam rekod dari hospital berdekatan tetapi tiada rekod mengatakan bahawa kanak-kanak kecil ini wujud di kawasan tersebut. Keseluruhan usaha yang dilakukan oleh pihak polis hanya membawa kepada jalan buntu.

Kes ini telah membawa kepada siasatan yang lebih besar, melibatkan ramai pihak dan mengambil masa yang lama. Polis mula dengan menyiasat petunjuk yang ada. Kotak yang dijumpai bersama dengan mayat tersebut adalah salah satu petunjuk mereka.

Kotak itu dijejak dengan serial number dan akhirnya diketahui bahawa kotak ini adalah dari syarikat yang menjual katil bayi dan hanya 12 orang sahaja yang telah membeli produk tersebut dalam masa terdekat. Lapan daripada pelanggan memberitahu mereka sudah membuang kotak tersebut dan tidak mengetahui keberadaannya.

Petunjuk yang kedua adalah selimut yang membalut mayat si kecil itu. Kemungkinan selimut tersebut dihasilkan di Quebec, Kanada dan Swannanoa di North Carolina tetapi petujuk tersebut tidak boleh diguna pakai kerana beribu selimut telah dihasil dan tiada nombor siri dikhaskan.

Ada teori yang mengatakan kanak-kanak lelaki ini hidup dan dibesarkan sebagai perempuan kerana beberapa helai rambutnya yang panjang telah dijumpai di badan mayat tersebut. Kemungkinan rambutnya telah digunting pendek setelah nyawanya diambil.

Teori yang paling terdekat dan hampir merungkaikan misteri ini adalah dari dua penulis bernama Lou Romano dan Jim Hoffman. Mereka mengatakan telah bertemu dengan seorang lelaki dari Philadelphia yang pernah membeli rumah daripada seorang lelaki yang menjual anak lelakinya sendiri.

Pihak polis melakukan siasatan ke atas mereka dan menjumpai persamaan daripada segi fizikal dan rupa, kemudian menghantar DNA mereka untuk dikaji dengan lebih lanjut. Namun apa yang menghairankan adalah mereka tidak menyatakan apa-apa jawapan dan akan dikaji lagi.

Teori yang lain daripada seorang lelaki bernama Remington Bristow yang telah mengkaji kes ini selama 36 tahun. Dia mengatakan kanak-kanak lelaki ini dijaga dengan baik oleh keluarganya dan kemungkinan maut secara tiba-tiba. Keluarganya pula tidak melakukan apa-apa tindakan kerana takut dituduh dan dijatuhkan hukuman.

Walau bagaimanapun, teori dan spekulasi yang dibuat hanya membawa kepada jalan yang buntu. Tiada siapa yang datang untuk memberitahu dan menuntut kanak-kanak kecil tersebut. Mayat tersebut akhirnya dikebumikan dengan nama “America’s Unknown Child” di tanah perkuburan Ivy Hill, Philadelphia. Apa-apapun, sehingga kini, kes ini diklasifikasikan sebagai unsolved.

Penulis:

  • Nurinsyirah Affan Binti Mohamed Fannay adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Untuk baca lebih banyak artikel berkenaan mistik, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca