Ferdy Sambo iaitu bekas pegawai kanan pasukan polis Indonesia dijatuhi hukuman maut selepas didapati bersalah merancang untuk menamatkan riwayat pengawal peribadinya atau aide-de-camp pada 8 Julai 2022.
Memetik laporan Bernama, ketua panel hakim iaitu Wahyu Iman Santoso berkata Ferdy didapati bersalah kerana menghalang keadilan apabila bekas Ketua Bahagian Profesion dan Pengamanan Polis Indonesia itu dipercayai telah mengarahkan supaya rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dipadamkan.
Wahyu berkata bekas jeneral itu didapati bersalah dan mahkamah mendapati tindakan Ferdy telah mencemarkan imej dan kedudukan pasukan polis Indonesia di mata rakyat negara itu.
Ferdy arahkan pengawal peribadi lain lepaskan tembakan ke arah mangsa

Dalam penghakiman yang disiarkan secara langsung di televisyen tempatan semalam, Wahyu berkata tindakan bekas jeneral dua bintang polis Indonesia itu telah menimbulkan kerisauan dalam kalangan masyarakat awam.
“Sebagai pegawai penguatkuasa undang-undang, Ferdy tidak sepatutnya bertindak seperti itu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mahkamah Daerah Jakarta Selatan turut menolak hujah pembelaan bahawa pengawal peribadi Brigadier Nofriansyah Yosua Hutabarat telah melakukan gangguan seksual terhadap isteri Ferdy iaitu Putri Candrawathi kerana kekurangan bukti.
Pihak mahkamah mendapati Ferdy telah mengarahkan pengawal peribadinya yang lain untuk mengambil nyawa Nofriansyah dengan melepaskan tembakan kepada mangsa di kediaman rasminya dekat Kompleks Duren Tiga di Jakarta Selatan, Indonesia kira-kira pukul 3.28 petang sehingga 4 petang.
Isteri Ferdy dijatuhi hukuman penjara 20 tahun

Defence Security Asia melaporkan isteri Ferdy telah dijatuhi hukuman penjara 20 tahun kerana terlibat dalam perancangan untuk mengambil nyawa Nofriansyah.
Ferdy dipecat pada 25 Ogos 2022 manakala isterinya dan tiga orang lagi pembantu turut didakwa atas tuduhan terbabit dalam kes mengambil nyawa yang dirancang.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: