Ambil Nyawa Orang Lain Kerana Tidak Suka Isnin, Ini Kisah Brenda Spencer

Apabila Isnin datang, pasti ramai yang mengeluh dan lesu kerana minggu baharu bermula lagi selepas berehat selama dua hari. Begitu juga dengan Brenda Ann Spencer.

Brenda telah menjadikan Isnin sebagai sebuah hari yang ‘menyeronokkan’ buat dirinya apabila wanita berusia 16 tahun tersebut telah mengambil nyawa dua orang dewasa yang tidak bersalah dekat Sekolah Rendah Grover Cleveland, San Diego pada 29 Januari 1979.

Brenda suka buat masalah ketika membesar

Dilahirkan pada 3 April 1962, Brenda tinggal bersama bapanya iaitu Wallace selepas ibu bapa remaja tersebut membawa haluan masing-masing.

Walaupun begitu, kehidupan Brenda bersama Wallace memang tidak indah kerana rumah mereka tidak mempunyai apa-apa perabot kecuali satu tilam. Untuk dijadikan cerita, bapa Brenda pula adalah seorang peminum tegar.

Ibu Brenda pula terus hilang dari radar dan langsung tidak ambil peduli tentang anak perempuannya lagi selepas mengikat tali perkahwinan bersama suami baharunya.

Menurut rakan sekolahnya, Brenda ialah seorang yang kuat bergaduh. Salah seorang guru kelasnya juga berkata Brenda suka tidur di dalam kelas dan sentiasa membuat masalah.

Usaha Brenda untuk tamatkan riwayat sendiri sentiasa gagal

Lokasi rumah Brenda betul-betul bertentangan sekolah rendah tersebut. Sumber: San Diego Union Tribune

Brenda sudah cuba banyak kali untuk menamatkan riwayat sendiri dengan mengambil pil yang berlebihan dan minum arak ayahnya sehingga mabuk teruk tetapi ia sentiasa gagal.

Ini membuatkan Brenda jadi lebih tertekan. Dia juga kecewa dengan dirinya yang tidak pandai berbuat apa-apa sehingga hendak ambil nyawa sendiri pun gagal.

Brenda terkenal sebagai seorang pemburu burung di kejiranannya. Pada suatu hari, dia ditangkap oleh gurunya kerana telah memecahkan tingkap sekolah menggunakan pistol BB dengan menggunakan alasan dirinya sedang memburu burung.

Selain itu, Brenda pernah cuba menembak ke bangunan sekolah yang sama satu tahun sebelum kejadian tersebut. Disebabkan kes ini, Brenda telah berada di bawah pengawasan polis.

Pegawai polis tersebut telah mencadangkan Brenda menerima rawatan lanjut di hospital sakit jiwa untuk kemurungan kerana wanita itu telah menunjukkan tanda-tanda bahawa dirinya mahu ambil nyawa sendiri.

Disebabkan cadangan tersebut perlu menerima kebenaran Wallace, lelaki terbabit tidak mahu memberi kebenaran kepada anak perempuannya untuk dimasukkan ke hospital sakit jiwa dengan mendakwa dia boleh uruskan masalah kemurungan dan tanda-tanda berkenaan sendiri.

Motif Brenda ambil nyawa orang lain

Pada Krismas 1978, Brenda meminta sebuah radio daripada bapanya sebagai hadiah untuk perayaan tersebut. Brenda bagaimanapun menerima selaras senapang panjang jenis 22 kaliber dengan teleskopik yang diisi dengan 500 butir peluru sebagai hadiah. Bijak sungguh bapa Brenda.

Pada hari kejadian iaitu 29 Januari 1979, Brenda rasa tidak sedap badan jadi dia berehat di rumah tanpa Wallace yang sudah keluar entah ke mana. Disebabkan Sekolah Rendah Grover Cleveland terletak betul-betul bertentangan dengan tempat tinggalnya, Brenda yang kebosanan pun mencapai senapangnya.

Menerusi tingkap rumahnya, dia memerhatikan tingkah laku pelajar-pelajar sekolah tersebut dan melihat guru besar sekolah berkenaan iaitu Burton Wragg membuka pagar membenarkan para pelajar masuk ke dalam bangunan berkenaan.

Brenda pun menghulurkan picu senapang keluar dari tingkapnya dan PEUW! Dia menembak pelajar-pelajar, guru besar atau sesiapa sahaja yang berkeliaran di hadapan pintu pagar sekolah tersebut.

Burton (kiri) dan Mike (kanan). Sumber: NY Daily News

Brenda akhirnya telah mencederakan lapan orang pelajar sekolah dan seorang pegawai polis. Wanita itu telah menyebabkan Burton yang cuba melindungi pelajar-pelajar tersebut dan Mike Suchar iaitu seorang penjaga yang melindungi orang dewasa di sekolah terbabit meninggal dunia.

Selama mengurung dirinya di dalam rumah selama enam jam sebelum menyerah diri kepada pihak polis, Brenda telah memberitahu seorang wartawan menerusi perbualan telefon bahawa dia melakukan perbuatan tersebut kerana tidak suka hari Isnin.

“Saya tidak suka hari Isnin. Saya membuat perkara tersebut sebagai salah satu cara untuk buat hari Isnin jadi lebih seronok. Lagi satu, tidak ada orang yang suka hari Isnin,” ujar Brenda lagi. Apa pendapat anda?

Penulis:

  • Nurul Syaziera Amiruddin adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Prof Madya Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca