Amal Hamsan Berkongsi Tips Menulis Dengan Formula ‘Kuat Berangan’

Mengimbau pra-penerbitan novel bestseller tulisan Amal Hamsan berjudul Seyogia, beliau sendiri tidak berapa yakin pada mulanya yang novel tu bakal diterima baik oleh pembaca. Sebelum mahu menghantar manuskrip penuh Seyogia, Amal Hamsan agak ragu-ragu; risau manuskripnya bakal ditolak oleh editor atau jika diterbitkan sekali pun, ia tidak berapa ‘menjadi’.

“Ala, macam tak best la.”

“Segan la nak pass kat editor.”

“Jangan gelak tau lepas dah baca.”

Itulah antara kata-kata Amal Hamsan kepada editor dan penerbit pada ketika itu.

Tapi percaya atau tidak, selepas editor membaca manuskrip penuh Seyogia tersebut, editor mengatakan yang Amal Hamsan ini seorang yang gila, hilang akal dan ada wayar putus di mana-mana bahagian tengkuk atau kepala beliau. Mana taknya, kalau dah tulisan sebagus dan semantap begitu beliau boleh kata ‘macam tak best’, entah macam manalah agaknya kalau beliau keluar dengan karya yang beliau cakap best. Haaa!

Jadi, berikut 6 tips menulis yang dikongsikan oleh Amal Hamsan: 

1. IDEA
Selalu perhati keadaan sekeliling, dengar apa yang orang ceritakan, belajar dan nikmati pengalaman sendiri; digaul rata, tambah sikit perasa, dan cubalah tulis dan kemudian tengok hasilnya macam mana.

2. BANYAKKAN MEMBACA
Tapi saya, saya memang susah untuk membaca. Saya lebih suka menonton cerita, filem atau drama. Tak jadi masalah. Sedikit sebanyak, ia memang membantu.

3. CATAT
Setiap kali terfikir atau terbayangkan sesuatu, biasakan diri untuk terus tuliskan perkara itu, atau boleh rekod suara di dalam handphone supaya nanti apa yang nak dicerita, kita tak lupa.

4. BERANGAN
Saya suka berangan apa bab seterusnya sebelum tidur. Apa akan jadi pada watak pertama, apa isu yang dibawa, apa keadaan yang boleh timbulkan pelbagai perasaan pada watak utama dan watak di sekelilingnya. Semuanya datang daripada gambaran dan bayangan dalam kepala. Dan, tulis sebagai langkah untuk tidak lupa.

5. ULANG BACA
Saya sentiasa baca dari mula cerita yang sudah saya tulis jika saya mahu mulakan, atau sambung apa yang sudah saya ceritakan. Dan saya akan terus baiki apa yang salah, dari segi dialog, ejaan, ayat, dan sebagainya. Ia membantu saya untuk mendapatkan semula mood selain untuk memahami apa yang watak utama alami dan rasakan.

6. JANGAN PUTUS ASA
Tulislah selalu. Jangan putus asa walau apa pun.

Begitulah 6 tips ringkas daripada Amal Hamsan.

Sehingga kini, Amal Hamsan telah menulis beberapa novel di bawah terbitan Lejen Press iaitu Heroin, Dabel Date, Seyogia dan Walang. Mantap kan? Jadi lepas ni, kalau suka berangan tu, janganlah habis macam tu saja. Catat dan tulislah. Mana tahu suatu hari nanti boleh dijadikan novel? Bak kata pepatah,  ‘tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu?’

Artikel Lain Untuk Di Baca