Alor Setar Bakal Menjadi Pulau, Klang Hilang Daripada Peta Pada Tahun 2050

Menurut laporan 2020 Climate Central, Inc, Alor Setar bakal menjadi sebuah pulau dan Klang akan hilang daripada peta merupakan antara kesan perubahan iklim (climate change) di Malaysia menjelang tahun 2050.

Agensi kajian bebas yang membuat kajian mengenai impak perubahan iklim ini turut memberitahu kehidupan terhadap 70% populasi penduduk di benua Asia akan terjejas teruk akibat kenaikan paras air laut menjelang tahun 2050.

Kenaikan paras air laut merupakan salah satu kesan perubahan iklim dunia.

Jika anda beranggapan tahun 2050 itu lama lagi, anda perlu fikir semula. Kalau anda lahir pada era 90-an, umur anda pada ketika itu dalam lingkungan 50-an. Pada usia ini, besar kemungkinan anda mempunyai anak dan keturunan yang perlu anda risaukan jika musibah ini berlaku.

Antara 10 kesan yang bakal berlaku apabila kenaikan paras air laut melanda Malaysia pada tahun 2050 adalah:

1. Alor Setar bakal menjadi pulau

2. Majoriti Lebuhraya PLUS (AH2) di utara akan tenggelam

3. Sebahagian besar kawasan utara Perak seperti Bagan Serai, Parit Buntar dan Kuala Kurau akan tenggelam

4. Sebahagian besar daerah Hilir Perak (Teluk Intan) dan utara Selangor (Sabak Bernam) akan lenyap daripada peta.

5. Klang hilang daripada peta

6. KLIA terletak di sebelah pantai

7. Muar banjir besar

8. Pekan dan Kuantan menjadi kawasan pertama di Pahang yang mengalami banjir besar

9. Kuala Terengganu mengecil dan menjadi beberapa buah pulau

10. Kuching mengecil dan menjadi beberapa buah pulau

Semua data ramalan ini diperolehi melalui kajian model CoastalDEM. Ia dikatakan lebih tepat berbanding kajian model Shuttle Radar Topography Mission (SRTM).

Model CoastalDEM menggurangkan kesalahan pengukuran SRTM dan menunjukkan tanah yang terjejas akibat daripada perubahan iklim dengan lebih tepat.

Ramai pihak tidak senang apabila seorang aktivis alam sekitar remaja iaitu Greta Thunberg yang tidak berselindung menyampaikan mesejnya supaya gaya hidup kita perlu diubah untuk menyelamatkan bumi daripada kesan perubahan iklim.

Jika difikirkan secara rasional, Thunberg mempunyai hak menyatakan pandangannya. Perkara ini kerana dalam masa 30 tahun akan datang, generasinya akan mewarisi bumi yang ditinggalkan oleh generasi terdahulu.

Jika kita bersikap sambil lewa dan tidak ambil serius terhadap perubahan iklim dunia, ia umpama kita sendiri memperjudikan nasib anak-anak kita nanti. Sikap generasi kita yang merosakkan bumi perlu bertanggungjawab jika bumi tidak lagi selamat untuk didiami oleh generasi akan datang.

Sudah tiba masanya untuk isu perubahan iklim dunia diketengahkan dan menjadikan isu ini sebagai agenda politik dan sosi-ekonomi kita.

Jelas terbukti, kita dapat melihat kesan perubahan norma dan tabiat kita sebagai manusia kepada alam sekitar ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Sungai-sungai menjadi semakin bersih dan jernih. Bukan itu sahaja, udara juga menjadi semakin segar dan pencemaran semakin berkurangan. Itulah antara hikmah dunia sedang menghadapi masalah global iaitu COVID-19.

Diharapkan semua pihak sedar kepentingan kita menjaga alam sekitar supaya dunia ini akan terus berada dalam keadaan yang baik dan selamat untuk didiami generasi akan datang.

Untuk baca artikel lain yang berkenaan alam sekitar , anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca