“Allah Ada Sesuatu Yang Lebih Baik”, Bekas Tunang Muhammad Adib Reda Selepas Setahun

Meskipun semalam menandakan sudah genap setahun pemergian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia pada jam 9.41 malam 17 Disember tahun lalu, pedihnya masih terasa terutamanya bagi orang terdekat.

Kepiluan dan rindu tidak terhingga itu turut ditanggung oleh bekas tunangnya iaitu Nurul Najihah Mohd Radzi yang sepatutnya menamatkan zaman bujangnya dengan Allahyarham pada 22 Disember tahun lalu.

Najihah berkongsi luahan hatinya menerusi laman sosial Facebook dengan menzahirkan rasa pilu dan reda terhadap pemergian perwira yang menjadi kebanggaan negara itu.

“Apabila Allah membuat kamu menunggu, jangan sekali-kali berfikir bahawa Dia tidak mencintaimu,” coret Najihah yang berusia 26 tahun itu.

“Apabila Dia mengambil apa yang kamu cintai, janganlah menganggap Dia menghukum kamu.”

“Dia mempunyai sesuatu yang lebih baik untuk kamu. Percaya kepada kebijaksanaan-Nya,” tulisnya lagi.

Pada masa yang sama, Najihah turut mencatatkan tarikh yang memberi makna besar buatnya iaitu 17 Disember 2018 hingga 17 Disember tahun ini pada posting tersebut.

Untuk rekod, Muhammad Adib yang juga merupakan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya parah dalam rusuhan ketika kekecohan yang berlaku di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).

Artikel Lain Untuk Di Baca