Aliff Aziz Belum Berubah? Artis Baharu Ini Bongkar Pernah Jadi ‘Mangsa’ Selebriti Singapura Itu

Sejak melangkah masuk ke dunia hiburan semenjak tahun 2007, nama penyanyi dan pelakon kelahiran Singapura iaitu Aliff Aziz tidak pernah sunyi dan sentiasa meniti di bibir semua orang.

Namun begitu, nama penyanyi yang dulunya terkenal dengan lagu berjudul ‘Sayang Sayang’ itu disebut-sebut bukan kerana nyanyiannya mengalahkan Bruno Mars ataupun lakonannya setanding Tom Holland, tetapi gara-gara menjadi ‘buaya’.

Boleh dikatakan, Aliff telah dihimpit kontroversi saban tahun. Episod demi episod kecurangannya akhirnya membawa kepada keruntuhan rumah tangganya bersama dengan Bella Astillah.

Terbaharu, seorang selebriti yang baru menempa nama dalam industri hiburan mendedahkan bahawa dia pernah ditipu dan dipergunakan oleh Aliff selepas dia bercerai dengan Bella.

Menerusi laman Twitter, wanita yang dikenali sebagai Christine Joanne itu mendedahkan bagaimana episod pertemuan mereka bermula dan mendakwa Aliff telah mempergunakannya ketika dia kesunyian.

Perkenalan mereka bermula di laman Instagram kira-kira sebulan yang lepas. Semuanya bermula apabila Joanne memuji lakonan Aliff dalam drama berjudul Halalkan Hati Yang Ku Curi. Bertitik tolak dari situlah mereka menjadi semakin rapat dan sering berbalas DM.

Selepas beberapa ketika, Aliff meminta nombor telefon Joanne dan dia mula berkongsi segala masalah yang terpaksa dilaluinya. Malah, Aliff juga meminta Joanne untuk memberi motivasi dan dorongan kepadanya bagi menempuh segala liku kehidupan. Simpati dengan apa yang menimpa Aliff, Joanne mengatakan bahawa dia akan cuba lakukan apa sahaja untuk membantu selebriti itu.

Sejak dari itu, Aliff sering menelefon dan membuat panggilan video kepada Joanne. Menurut Joanne, setiap kali dia pergi ke kerja atau pulang dari kerja, pasti akan ada notifikasi daripada Aliff. Memandangkan Joanne ketika itu sedang dilanda stres akibat kerja, masalah keluarga dan juga masalah peribadi, dia juga perlukan seseorang untuk ‘lari’ seketika daripada segala permasalahan yang dihadapi.

Selepas beberapa hari, Aliff sudah mula menyatakan rasa sayangnya terhadap Joanne. Dia juga menegaskan bahawa Joanne bukanlah ‘rebound’ semata-mata. Memandangkan bekas isterinya kelihatan seperti sudah move on, Aliff berasakan dia patut berbuat perkara yang sama.

Namun begitu, selepas beberapa ketika, Aliff memberitahu Joanne yang bekas isterinya mula berhubung semula dengannya. Tiada angin, tiada ribut, tahu-tahu Joanne telah disekat (block) oleh Aliff di aplikasi WhatsApp kerana dia risau hubungan mereka akan ‘kantoi’ sewaktu dia bersama dengan Bella.

Malah, Joanne juga mengatakan bahawa Aliff pernah memuat turun aplikasi Telegram supaya Bella tidak berasa curiga dengan status online ketika dia sedang menghubunginya menerusi WhatsApp. Aliff pernah cuba meyakinkan Joanne yang dia berbuat demikian hanya untuk anaknya iaitu Ayden Adrean.

Sampai satu tahap, kesabaran Joanne akhirnya sampai ke penghujung kerana dia sedar, Aliff cuma mempergunakannya ketika dia sunyi dan ‘membuangnya’ sewaktu bekas isteri dan anaknya ada di sisi.

Membuktikan segala yang didedahkan itu adalah benar dan bukan rekaan semata-mata, Joanne turut memuat naik foto perbualan mereka menerusi WhatsApp.

Memandangkan Joanne merupakan orang baru dalam industri, dia mungkin akan bekerja bersama dengan Bella pada suatu hari nanti. Dia tidak mungkin akan dapat berpura-pura tiada apa yang berlaku antara dirinya dan Aliff. Oleh itu, dia mengambil keputusan untuk memberitahu segalanya kepada Bella yang kini popular menerusi drama Cinta Belum Tamat Tempoh itu.

Pada mulanya, Bella beranggapan bahawa Joanne memberitahu semua itu untuk meminta kebenaran menjalinkan hubungan dengan Aliff. Namun begitu, itu bukanlah niat Joanne. Dia cuma berasakan Bella patut tahu siapa Aliff sebenarnya. Penjelasan Joanne akhirnya diterima baik oleh Bella.

Menurut Joanne, dia membongkarkan kisah ini bukan untuk menjadi topik gosip hangat tetapi dia mahu cerita tersebut keluar daripada mulutnya sendiri kerana lambat-laun, orang akan tahu juga.

Mengakui hatinya hancur kerana diperlakukan sedemikian rupa, Joanne bagaimanapun memilih untuk memaafkan Aliff dan mendoakan agar kehidupannya berjalan dengan lancar.

Semua orang boleh berubah tidak kiralah daripada baik menjadi buruk mahupun daripada buruk menjadi baik. Apa-apa pun, kami doakan agar Aliff betul-betul berubah suatu hari nanti.

Artikel Lain Untuk Di Baca