Album Penuh Pertama BlackPink Bakal Temui Blink Oktober Ini

Berita baik buat semua Blink kerana apa yang dinanti-nanti selama ini sudah hampir tiba! Kumpulan sensasi K-Pop, BlackPink telah melancarkan poster berserta tarikh album penuh pertama mereka.

Berita gembira ini diumumkan sendiri oleh syarikat rakaman BlackPink iaitu YG Entertaiment di akaun Instagram rasmi mereka. Album yang berjudul ‘BLACKPINK THE ALBUM’ itu dijadualkan berada di pasaran pada 2 Oktober 2020.

Pengumuman ini telah menerima reaksi positif daripada Blink di mana rata-rata menyuarakan keterujaan mereka kerana apa yang dinantikan selama ini akhirnya menjadi realiti.

Memetik laporan media hiburan tempatan, album pertama BlackPink ini akan memberi fokus terhadap pasaran global. Pada masa yang sama, ia turut menampilkan lagu baharu mereka yang mencipta fenomena sejak ia dilancarkan iaitu ‘How You Like That’.

Sebelum ini, YG Entertainment menerusi satu kenyataan mengatakan bahawa BlackPink bakal mengeluarkan single baharu pada Ogos di mana ia merupakan kolaborasi bersama penyanyi yang masih menjadi teka-teki hingga ke hari ini.

Untuk rekod, BlackPink yang membuat kemunculan pertama pada tahun 2016 ini terdiri daripada empat orang ahli iaitu Jennie, Lisa, Rose dan Jisoo.

Terdahulu, Blink menunjukkan protes terhadap YG Entertainment dan menuntut label terbabit supaya uruskan kerjaya BlackPink dengan lebih adil serta merakam lebih banyak lagu baharu seperti yang dilakukan oleh kumpulan lain dalam agensi tersebut.

Untuk baca artikel-artikel lain berkenaan BlackPink, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca