Alat Sulit Dipijak Berkali-Kali, Ini Layanan Diterima Sylvia Likens Yang Lagi Kejam Daripada Binatang

Gertrude Baniszewski diberikan amanah oleh pasangan Likens untuk menjaga dua orang anak gadis mereka, Sylvia dan Jenny Likens. Walau bagaimanapun, Gertrude ternyata tidak boleh dipercayai kerana wanita itu telah tergamak mendera kedua-dua gadis tersebut sehingga mengakibatkan kematian Sylvia yang berusia 16 tahun.

Pergi merantau

Ibu bapa Sylvia Likens bekerja sebagai pekerja karnival yang menyebabkan mereka terpaksa menjelajah ke serata negeri. Pada bulan Julai 1965, bapa Sylvia terpanggil untuk menyertai karnival sekali lagi setelah isterinya ditahan polis atas kesalahan mencuri. Oleh kerana tidak punya pilihan lain, Sylvia dan adik perempuannya, Jenny diletakkan di rumah Gertrude Baniszewski yang merupakan kenalan keluarga.

Gertrude merupakan seorang ibu tunggal kepada tujuh orang anak. Wanita ini mengambil upah menggosok baju-baju jirannya untuk menyara kehidupan. Sebenarnya, dia tidak mampu untuk menjaga Sylvia dan Jenny berikutan dia mempunyai masalah kemurungan yang teruk akibat sering didera bekas suaminya. Namun begitu, disebabkan Gertrude memerlukan wang, dia bersetuju untuk menjaga dua beradik itu dengan bayaran hampir RM200 seminggu pada hari ini.

Penderaan

Pada dua minggu pertama Sylvia dan Jenny tinggal di rumah Getrude, mereka berdua dilayan dengan cukup baik walaupun Paula, anak sulung Gertrude yang berusia 17 tahun sering berbalah dengan Sylvia. Namun begitu, layanan tersebut bertukar gelap apabila bapa Sylvia gagal menghantar wang bayaran pada waktu yang ditetapkan. Walaupun wang berkenaan diterima Gertrude keesokan harinya, wanita itu tetap mendera Sylvia dan Jenny.

Wanita terbabit telah memukul Sylvia dan Jenny menggunakan dayung berat dan tali pinggang kulit tebal yang dahulunya menjadi milik bekas suami Gertrude yang merupakan seorang anggota polis. Selain itu, Gertrude juga memaksa Jenny untuk sama-sama menyeksa kakaknya, Sylvia. Jika gadis itu enggan, dia harus menggantikan tempat saudaranya.

Apabila Gertrude sudah tidak larat hendak ‘mendisiplinkan’ dua beradik itu, Paula pula akan mengambil alih. Lama-kelamaan, Sylvia menjadi fokus penderaan bagi kedua beranak itu.

Gertrude pernah menuduh Sylvia mencuri. Akibatnya, hujung jari gadis itu dibakar. Gertrude kemudiannya membawa Sylvia ke sebuah majlis di gereja dan akan menyumbat makanan ke dalam mulut gadis itu sehingga dia sakit. Apabila Sylvia memuntahkan semula makanan, Gertrude akan memaksanya memakan semula muntah tersebut dengan alasan Sylvia telah membazirkan makanan.

Tidak cukup dengan itu, Gertrude turut mengalakkan anak-anaknya yang lain untuk menyeksa Sylvia. Dia menyuruh anaknya mempraktikkan seni karate yang dipelajari pada gadis itu. Selain itu, mereka juga mencucuh rokok pada badan Sylvia, mencederakan gadis itu dengan objek tajam sebelum melumurkan garam pada luka. Setelah selesai, Sylvia akan ‘disucikan’ dengan merendamnya ke dalam air mandian yang panas menggelegak.

Paula yang ketika itu sedang hamil pernah memijak alat sulit Sylvia berkali-kali. Malah, alat sulit gadis malang itu turut dicacatkan oleh Paula. Selain daripada itu, Sylvia turut dipaksa berbogel dan harus memasukkan satu botol minuman Coca-Cola yang kosong ke dalam alat kelaminnya.

Sylvia didera dengan sangat teruk sehinggakan gadis itu tidak mampu untuk membuang air secara normal. Apabila dia mengotorkan tilam, Gertrude membuat keputusan untuk membiarkan Sylvia di ruangan bawah tanah tanpa makanan dan akses kepada bilik air.

Kekejaman Gertrude tidak berakhir di situ. Wanita tersebut telah menyebarkan fitnah mengenai Sylvia kepada kanak-kanak lain di kawasan kejiranan mereka. Akhirnya, beberapa orang daripada mereka turut menyertai keluarga Gertrude membalun Sylvia yang kian lemah.

Menurut laporan, jiran tetangga yang lain mengetahui akan penderaan yang berlaku di rumah keluarga Baniszewski namun tiada siapa yang berani melaporkan hal itu kepada pihak berkuasa kerana bimbang menjadi mangsa seterusnya.

Kematian Sylvia

Melihat keadaan Sylvia yang semakin tenat, Gertrude telah memaksa gadis itu menulis surat kepada orang tuanya mengatakan dia sudah lari dari rumah Gertrude berikutan dia sudah menggadaikan badannya buat beberapa lelaki. Di dalam surat itu, Sylvia turut menulis bahawa dia sudah dicacatkan oleh lelaki-lelaki tersebut.

Namun begitu, Sylvia tidak hanya menunggu mati. Gadis itu telah bertindak melarikan diri daripada rumah neraka itu. Walau bagaimanapun, larian tersebut gagal kerana kecederaan yang dialaminya. Apabila Gertrude mendapat tahu Sylvia cuba melarikan diri, dia membelasah gadis berkenaan dengan batang langsir sambil dibantu seorang kanak-kanak yang merupakan jirannya. Akibat pukulan tersebut, Sylvia tidak sedarkan diri dan Gertrude segera memijak kepalanya.

Sylvia telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 26 Oktober 1965 setelah tiga bulan menahan seksa.

Pengakhiran

Hasil bantuan adik Sylvia, Jenny, Gertrude telah ditahan dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup atas kesalahan membunuh. Wanita tersebut tidak dihukum mati berikutan mempunyai rekod masalah mental. Anak sulung Gertrude, Paula turut dihukum penjara seumur hidup.

Kanak-kanak lain yang turut membantu menyeksa Sylvia Likens sehingga menemui ajal mendapat hukuman penjara maksimum 2 hingga 21 tahun kerana masing-masing masih dibawah umur.

Setelah lapan tahun berada disebalik tirai besi, Paula Baniszewski dibebaskan setelah rayuannya berjaya. Walaupun wanita itu telah berpindah ke Iowa dan telah bekerja sebagai guru pembantu, dia telah kehilangan kerjanya apabila pihak sekolah mengetahui sejarah lampau wanita berkenaan.

Pada 4 Disember 1985, Gertrude Baniszewski pula dibebaskan dari penjara atas alasan berkelakuan baik. Apabila mengetahui tentang pembebasan wanita yang bertanggungjawab membunuh saudaranya, Jenny dan beberapa orang awam telah membuat satu bantahan namun gagal. Lima tahun kemudian, Gertrude Baniszewski disahkan telah meninggal dunia akibat kanser paru-paru.

Jenny telah menulis satu surat kepada ibunya apabila berita kematian Gertrude tersebar. Surat tersebut berbunyi, “Saya ada berita baik. Si tua jahanam, Gertrude sudah mati. Saya sangat gembira.”

Menurut Jenny, dia tidak pernah menyalahkan ibu bapanya atas apa yang berlaku terhadap dirinya dan Sylvia. Jenny hanya beranggapan perkara tersebut berlaku kerana orang tuanya mempercayai Gertrude.

Artikel Lain Untuk Di Baca