Akui Tekap Kaki Arwah Zulfarhan Guna Seterika Wap, Tertuduh Pertama Mengeyakan Dakwaan

Baru-baru ini, masyarakat telah digemparkan dengan pengakuan seorang pelajar yang merupakan tertuduh pertama dalam kes kematian Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain. Menurut laporan Malaysiakini, pengakuan tertuduh berlaku secara sukarela sewaktu perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berlangsung.

Berdasarkan pengakuan tersebut, tertuduh menyatakan bahawa dia sememangnya telah menekap bahagian tapak kaki dan lutut mangsa menggunakan seterika wap. Mangsa turut dilaporkan tidak melawan sama sekali dan hanya menjerit sewaktu serangan dilakukan.

Tertuduh mengakui perbuatannya sewaktu menghadapi pemeriksaan balas bersama timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim ketika prosiding membela diri di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah dilaksanakan.

Bagaimanapun, tertuduh bernama Muhammad Akmal Zuhairi tidak bersetuju dengan cadangan pendakwa raya yang menyatakan bahawa dia telah menekap seterika wap di bahagian lain pada badan mangsa.

Namun demikian, tertuduh mengeyakan soalan pendakwa raya berhubung tindakannya menyapu losyen gamat pada luka yang dialami mangsa sepanjang 23 hingga 26 Mei 2017.

Sewaktu disoal dengan cadangan selanjutnya, tertuduh menyatakan bahawa dia telah membawa Zulfarhan ke Klinik As-Salam di Bandar Baru Bangi pada 27 Mei 2017. Dia turut menjelaskan sebab tidak membawa mangsa ke klinik UPNM kerana mereka pada waktu itu sedang berada dalam cuti semester.

Bagaimanapun, klinik terbabit tidak memberikan sebarang surat rujukan untuk Zulfarhan dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut. Untuk cadangan soalan yang seterusnya, Muhammad Akmal memberi respons tidak setuju apabila didakwa telah mencucuh mangsa dengan seterika sebanyak 18 kali.

Julia turut mengusulkan lagi cadangan lantas berkata, “Sepanjang Zulfarhan dicucuh dengan seterika, adakah kamu cuba untuk menghentikan perbuatan itu?”

Tertuduh menjawab, “Tidak hentikan.”

Muhammad Akmal turut mengakui bahawa perbuatannya itu adalah menyalahi undang-undang. Malahan, tertuduh sama sekali tidak melaporkan kejadian kecurian barangan berkenaan sejurus selepas Zulfarhan memohon maaf dan mengakui tindakannya yang mengambil komputer riba tersebut.

Pendakwa raya turut berkata, “Saya katakan kamu tak buat laporan sebab kamu tahu perbuatan kamu memukul Zulfarhan adalah salah dan akan diambil tindakan.”

Muhammad Akmal menjelaskan seraya menjawab, “Saya tidak setuju. Kebiasaannya, di UPNM tak ada apa yang berlaku.”

Julia yang dilihat mengusulkan lagi cadangannya berkata, “Jadi budaya di situ, pukul orang tak ada apa yang berlaku, curi komputer riba kena buang. Itu yang kamu maksudkan?”

Tertuduh segera menjawab, “Ya, Yang Arif.”

Sewaktu pemeriksaan semula oleh peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Muhammad Akmal menjelaskan bahawa tertuduh ada membawa keluar mangsa dari UPNM untuk mendapatkan rawatan di klinik bagi mengetahui keadaan luka pada tubuh mangsa sama ada terkena jangkitan atau tidak.

Tertuduh turut menyatakan permohonan maaf kepada Zulfarhan atas perbuatan kejam itu. Muhammad Akmal juga mendeskripsikan keadaan mangsa ketika itu yang kelihatan agak sedikit membaik meskipun masih terdapat beberapa bahagian luka yang berair.

Amer Hamzah bagaimanapun melanjutkan cadangannya dengan berkata, “Boleh jelaskan kenapa kamu tidak setuju dengan cadangan pendakwaan bahawa kamu dan rakan-rakan melakukan cucuhan menggunakan seterika berulang kali secara bergilir-gilir?”

Tertuduh menjawab, “Sebab saya tidak melihat mereka menyeksa mangsa menggunakan seterika. Selepas saya tekap, saya pergi ke tandas dan keluar merokok.”

Perbicaraan seterusnya bersambung di hadapan Hakim Azman pada hari ini. Pihak Lejen Press mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga arwah Zulfarhan. Kami turut mendoakan supaya pelaku yang terlibat dalam kes pembunuhan ini segera terungkai agar keadilan arwah Zulfarhan terbela.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca