Akui Pernah Tewas Ketika Diuji, Fathia Latiff Kembali Berhijab

Awal tahun lalu nama, Fathia Latiff menjadi bualan hangat selepas membuat keputusan untuk tidak lagi berhijab kerana enggan berpura-pura. Walau bagaimanapun, Fathia kini sudah kembali berhijab sebelum Ramadan lalu.

Akur dengan kepercayaan dan pegangan agama yang abadi, Fathia tidak mempunyai alasan yang boleh diberikan bagi menjawab persoalan mengapa dia kembali bertudung melainkan mengakui bahawa dia seorang manusia biasa yang tidak terlepas daripada perlakuan khilaf.

“Benar, saya manusia biasa. Namun, itu bukan alasan untuk saya buat silap dan kembali sedar. Seterusnya, buat lagi hal sama. Hidup ini bukan panjang lagi.

“Saya akui tewas ketika diuji. Ada fasa dalam hidup termasuk hal peribadi dan kebodohan akhirnya menjerat diri.

“Saya memberontak tidak kena gaya. Natijahnya, hanya saya tahu. Saya lupa diri ini bukan orang biasa, sebaliknya insan dikenali yang diperhati setiap tindak tanduk.

“Sampai bila saya hendak ‘pakai buang’ dalam kewajipan bertudung. Mahu atau tidak, saya kena tetap pendirian. Soal bertudung, saya kena pakai kerana itulah tuntutan wanita Islam.

“Pada akhirnya, saya kena balik kepada pegangan agama dan kepercayaan. Saya tiada alasan kenapa kembali bertudung.

“Saya manusia biasa yang tidak lepas melakukan khilaf demi khilaf. Sekarang, saya dalam fasa membetulkan diri… Bukan mudah hendak istiqamah,” katanya.

Fathia juga memberitahu bahawa dia teringat pesanan ibunya mengenai pemakaian hijab bukan suatu ikutan.

“Hijab adalah mahkota yang menutup aurat wanita Muslim. Malah ketika ini, jika tidak bertudung, kita umpama ketinggalan,” jelasnya.

View this post on Instagram

Selamat Hari Raya, Maaf Zahir & Batin!

A post shared by Nur Fathia (@fatiyalatiff) on

Fathia atau nama penuhnya, Nur Fathia Abdul Latiff, berharap agar dia diberi peluang kedua untuk berubah dan mengubah dirinya selepas mengakui bahawa dirinya tidak matang suatu ketika dahulu.

“Saya pernah hanyut, terleka dan lalai hingga jatuh terduduk saat buat keputusan membuka tudung.

“Saya tanggung semuanya kerana silap sendiri. Saya bukannya masih muda lagi. Dahulu saya tidak matang.

“Sekali lagi, saya harap diberi peluang dan ruang untuk memperbaiki diri dan berubah,” ujar pelakon kelahiran Ayer Hitam ini.

Sementara itu, tinjauan kami di laman sosial Instagramnya mendapati bahawa Fathia mula memuat naik foto bertudung dan membuang gambar lama.

View this post on Instagram

with dad.

A post shared by Nur Fathia (@fatiyalatiff) on

Dalam pada itu, Fathia masih merindui bidang lakonan dan jika diberi peluang untuk berlakon semula, dia akan menggunakan dengan sebaik mungkin untuk menebus semula kerjayanya sebagai seorang pelakon.

Untuk membaca artikel lain berkaitan industri hiburan di Malaysia, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca