Akui Perasaan Sudah Kosong, Coretan Bapa Ashraf Sinclair Ini Runtun Hati Warganet

Hari ini menandakan genap dua minggu pemergian aktor Malaysia yang berjaya mencipta nama di negara seberang, Indonesia iaitu Ashraf Sinclair.

Baru-baru ini, bapa kepada pelakon itu memuat naik sebuah posting di laman Facebook miliknya tentang kehilangan dari perspektif seorang bapa.

Mohamed Anthony John Sinclair yang lebih mesra dengan panggilan Pak Mat berasa sangat kehilangan dan akui perasaannya sudah tiada selepas suami kepada Bunga Citra Lestari itu menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung.

Mohamed berkata, “Saya sebenarnya kena berhenti sekejap dan fikir bagaimana untuk terjemahkan perasaan saya sekarang ini. Saya jalani hidup seperti biasa tetapi kebanyakan warna daripada hidup saya sudah hilang.”

Tambahnya, “Ada seseorang menghantar e-mel kepada saya, dia tidak mengenali Ashraf atau Bunga tetapi dia faham bagaimana rasanya seorang bapa kehilangan anak tersayang.”

Namun, apa yang lebih membuat warganet sebak ialah pengakuan Mohamed bahawa perasaannya seperti sudah kosong sehingga rasa sakit, kehilangan dan sayu itu datang kepada dirinya.

“Kadang-kadang rasa sakit itu biasa, kadang-kadang saya rasa sangat sakit yang tidak tertahan. Saya cuba tanganinya dengan tenang, sebagaimana perasaan itu tiba-tiba menerpa, begitu juga lah saya cuba bertenang,” jelasnya.

Tidak berhenti di situ, “Satu lagi perkara yang sangat menghiris bukanlah persoalan mengapa, tetapi perasaan tidak berdaya.”

“Saya tidak berdaya untuk menghilangkan rasa sedih yang dirasai orang lain, saya tidak berdaya untuk putarkan kembali waktu, saya tidak berdaya untuk menukar nyawa saya dengan Ashraf sebagaimana semua bapa akan lakukan,” luahnya.

Bapa Allahyarham mengakhiri posting itu dengan berkata, “Saya terima semua ini sebagai takdir Allah SWT. Sementara kamu di sana Ash, sediakan kami satu tempat di syurga buat kita sekeluarga. Semoga Allah SWT merahmati kamu Ash, terima kasih untuk segalanya.”

Team Lejen Digital mengucapkan salam takziah buat Bunga Citra Lestari dan seluruh keluarga Allahyarham Ashraf Sinclair. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah.

Untuk baca artikel lain mengenai pemergian Allahyarham Ashraf Sinclair, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca