Akui Hampir Putus Asa Terhadap Keadaan Isteri, Shuib Syukur Siti Sarah Semakin Stabil

Pelawak terkenal tanah air, Shuib Sepahtu memanjatkan kesyukuran selepas beliau menerima perkhabaran gembira daripada doktor bahawa keadaan isterinya iaitu Siti Sarah Raissuddin semakin stabil.

Perkembangan positif yang ditunjukkan Siti Sarah sangat menggembirakan Shuib kerana beliau akui hampir putus asa terhadap keadaan isterinya sebelum ini.

Sumber: Instagram Siti Sarah Raissuddin

Memetik laporan Astro Awani, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad menyatakan bahawa kadar oksigen Siti Sarah sudah mencecah paras 85 setakat pukul enam petang semalam berbanding paling rendah sebanyak 40 peratus pada pukul 11 malam Jumaat.

Untuk pengetahuan anda, kadar ideal oksigen bagi manusia adalah melebihi 95 peratus.

“Allah SWT Maha Baik. Allah bantu saya dan Siti Sarah dengan memberikan rahmatNya, dihadirkan ramai orang berdoa, membaca Yassin dan mengadakan solat hajat tanpa henti.

Berkat kebaikan semua orang kepada isteri saya itu, Allah SWT hadirkan keajaiban buat saya. Keajaiban itu berlaku di hadapan mata saya. Saya amat bersyukur dan menginsafi kebaikan Allah buat saya dan isteri,” ujar Shuib ketika berkongsi perkembangan terkini Siti Sarah dalam sesi bacaan Yassin dan doa selamat menerusi aplikasi Zoom semalam yang disertai oleh 157 kenalan pasangan berkenaan.

Sumber: Instagram Shuib Sepahtu

Shuib turut akui bahawa keajaiban yang Allah SWT hadirkan dalam tempoh 24 jam lalu telah mengembalikan semangat dan senyumannya selepas berhari-hari melalui detik-detik yang sukar sehingga tidak lelap tidur serta hilang selera makan.

“Di sebalik ujian, ada kemanisan yang Allah berikan. Saya sangat beremosi dan terlalu seronok melihat keprihatinan rakan-rakan kami yang saling berganti menghadiahkan bacaan Yassin, solat hajat dan doa yang tidak putus-putus buat Siti Sarah serta anak.

Saya seperti mendapat semangat baharu. Terima kasih kepada semua yang tidak putus-putus mendoakan kesembuhan buat Siti Sarah. Hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya,” tambahnya.

Penyanyi lagu Kesetiaan itu dikejarkan ke Hospital Canselor Tunku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia pada Rabu lalu kerana keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan selepas dijangkiti COVID-19.

Sumber: Instagram Shuib Sepahtu

Selain Siti Sarah, Shuib bersama tiga anak mereka iaitu Uwais Alqarni, Dzahira Talita Zahra dan Ariq Matin turut disahkan positif. Shuib dan anak-anaknya bagaimanapun disahkan negatif selepas menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari.

Berikutan Siti Sarah sedang hamil lapan bulan, doktor telah mengeluarkan bayi dalam kandungannya sekitar pukul empat petang pada Jumaat.

Shuib menjelaskan bahawa anak bongsu mereka yang diberi nama Ayash Affan masih ditempatkan di HCTM tetapi kini berada dalam keadaan stabil, “Pada awalnya, doktor maklumkan anak kami tidak bernafas dan tidak bergerak.

Selepas doktor memantaunya, Ayash sudah mula menunjukkan perkembangan. Ayash sudah mula menendang kaki dan menggenggam tangan doktor selain sudah membuka mata.”

Kami mendoakan Allah SWT memberi kekuatan kepada Siti Sarah dan beliau akan kembali pulih seperti sediakala. Semoga cepat sembuh!

Untuk baca artikel-artikel berkaitan selebriti tempatan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca