Akui Guna Islam Raih Populariti, YouTuber Ini Tampil Mohon Maaf

YouTuber terkenal dari Korea Selatan iaitu Daud Kim membuat pengakuan menerusi sebuah video di laman YouTube bahawa dia menggunakan Islam untuk meraih populariti.

Lelaki ini yang memiliki ramai pengikut dari Malaysia dan Indonesia itu turut memohon maaf kepada umat Islam di seluruh dunia kerana dia telah mempermainkan agama tersebut demi mengejar keseronokan.

“Saya mengaku menggunakan Islam hanya untuk meraih tontonan dan keseronokan tanpa mengambil kira hukum-hakam agama. Saya berlakon jadi baik di hadapan kamera untuk raih populariti walaupun saya bukannya seperti itu.

Saya bertaubat dan minta maaf kepada semua orang yang menyokong saya selama ini. Selepas saya masuk Islam, saya banyak melakukan perbuatan terkutuk.

Saya masih mabuk, minum arak dan pergi ke kelab malam. Saya juga keluar dengan ramai wanita. Saya minta maaf kepada semua orang Islam.

Imej Islam tercalar disebabkan saya dan keikhlasan mualaf di Korea Selatan jadi pertikaian. Saya minta maaf. Jangan salahkan Islam tetapi salahkan saya.

Saya bertaubat, menyesal dan berjanji untuk menjadi seorang Muslim yang baik. Saya akan mengubah diri mengikut ajaran Islam yang sebenar. Saya juga akan berehat daripada media sosial supaya dapat muhasabah diri,” jelasnya.

Sementara itu, Daud turut akui bahawa dirinya sudah mendirikan rumah tangga tiga tahun lalu dan turut dikurniakan seorang cahaya mata.

Bagi yang masih keliru, Daud memuat naik video permohonan maaf ini sebagai respons terhadap dirinya dituduh melakukan serangan seksual terhadap dua orang wanita pada tahun lalu.

Walaupun kejadian itu berlaku sebelum dia memeluk agama Islam, ramai orang mengecam tindakan tersebut kerana ia merupakan satu perkara yang salah dan mampu meninggalkan trauma kepada mangsa.

Semoga perkara ini tidak berulang lagi pada masa hadapan. Anda boleh tonton video penuh di bawah.

Untuk membaca lebih banyak artikel berkaitan YouTuber, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca