Model dan pelakon kelahiran Taiwan, Godfrey Gao meninggal dunia pada usia 35 tahun semalam sewaktu menjalani penggambaran untuk sebuah siri realiti televisyen di Zhejiang dekat timur China.

Berita sedih itu disahkan sendiri oleh jurucakap agensi JetStar Entertainment menerusi laman Weibo.

Difahamkan, ketika kejadian, Gao yang datang sebagai tetamu undangan dalam rancangan menguji ketahanan fizikan para peserta itu dilaporkan sedang berlari sebelum dia jatuh pengsan secara tiba-tiba sekitar jam 2 pagi waktu tempatan.

Menurut pengurusan program Chase Me, paramedik di set penggambaran berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan Gao sebelum dia dikejarkan ke hospital.

Gao bagaimanapun disahkan meninggal dunia tiga jam kemudian dan kematiannya diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Untuk rekod, Gao menjadi model lelaki pertama Asia yang menandatangani kontrak untuk iklan kempen jenama mewah, Louis Vuttion pada tahun 2011.

Aktor itu juga turut membintangi filem Hollywood iaitu The Mortal Instruments: City of Bones yang diadaptasi daripada siri novel popular.

Namanya juga mula dikenali di China selepas dia membintangi drama popular berjudul Remembering Lichuan.

Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda