Aktiviti Kebajikan Tergendala Sementara, Uncle Kentang Disahkan Positif COVID-19 Tahap 4

Aktivis terkenal, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang memaklumkan dirinya dijangkiti wabak COVID-19.

Berita tersebut dikongsi sendiri olehnya di laman Facebook malam tadi, bagaimanapun dia tidak mendedahkan dari mana dijangkiti wabak tersebut.

Dalam hantarannya itu, Uncle Kentang turut memaklumkan dia kini berada di Hospital Serdang dan telefon bimbitnya akan dimatikan selama tujuh hari.

“Maaf. Telefon saya akan tutup untuk tujuh hari, positif COVID-19 tahap empat. Sekarang di Hospital Serdang. Pejabat akan ditutup selama empat hari bermula hari ini.

Talian hotline akan ditutup kecuali perkhidmatan ambulans. Kami juga akan tingkatkan ambulans untuk pesakit COVID-19 sebanyak dua buah kerana ramai dijangkiti COVID-19,” ujarnya.

Uncle Kentang juga sempat mengingatkan orang ramai untuk terus menjaga prosedur operasi standard (SOP) dan sentiasa memakai pelitup muka.

Ruang komen hantarannya itu dipenuhi dengan orang ramai yang mendoakan agar Uncle Kentang cepat sembuh daripada wabak ini.

Malah, ramai yang turut berpesan sesama sendiri agar terus patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) dalam mendepani gelombang Omricon kali ini.

Nama Uncle Kentang memang tidak asing lagi di negara kita kerana usahanya dalam kerja-kerja kebajikan.

Selain aktif di dalam program kebajikan, Uncle Kentang disenangi pelbagai lapisan rakyat Malaysia kerana pendekatannya yang membantu ramai orang tidak kira bangsa dan agama sejak beberapa tahun lalu.

Malah, dia juga pernah menerima anugerah ‘Point of Light’ daripada Ratu Elizabeth II atas kerja-kerja amal kepada masyarakat yang dilakukannya sebelum ini.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca