Akibat Tidak Mahu Meninggal Dunia Sendiri, Lelaki Ini Bakar Kereta Api Bawah Tanah

*Gambar di atas hanya sekadar hiasan.

Bandar keempat terbesar di Korea Selatan, Daegu menjadi tempat tumpuan pelancong kerana pemandangannya yang menarik. Namun, terdapat satu kisah tragis yang berlaku di sebalik bandar menarik ini iaitu peristiwa Daegu Subway Fire yang berlaku pada 18 Februari 2003.

Kami akan kongsikan kisah berkenaan menerusi artikel ini:

Daegu Subway Fire

Kebakaran yang telah berlaku pada 18 Februari 2003 ini telah meragut 192 nyawa manakala 151 orang lagi mengalami kecederaan. Ia tidak berlaku kerana kemalangan atau masalah teknikal sebaliknya kebakaran ini berpunca daripada seorang lelaki bernama Kim Dae Han yang membakar kereta api bawah tanah dengan sengaja.

Kronologi kejadian

Sumber: Alchetron

Pada hari kejadian, Dae Han telah menaiki kereta api bawah tanah yang bernombor 1079 dari Stesen Banwoldang pada pukul 9:53 pagi. Sebelum tiba di stesen Jungangno, Dae Han telah menyimbah dua tong petrol di dalam kereta api tersebut.

Dae Han bagaimanapun berjaya melarikan diri bersama penumpang-penumpang lain dari kereta api terbakar berkenaan. Ia hanya mengambil masa dua minit sahaja untuk membakar semua enam gerabak.

Pada masa yang sama, kereta api bernombor 1080 di laluan sebelah sedang bergerak ke stesen Jungangno. Oleh sebab asap yang terlalu tebal, pemandu kereta api berkenaan mengambil keputusan untuk menutup semua pintu gerabak.

Pemandu terbabit tidak mahu asap masuk ke dalam kereta api tersebut. Dia juga menghubungi pejabat stesen dan kemudiannya diberitahu untuk mengosongkan gerabak dengan kadar segera. 

Namun, apa yang tidak ramai orang tahu ialah pemandu kereta api 1080 telah mengambil keputusan untuk melarikan diri bersama kunci kereta api.

Tindakan pemandu tersebut telah menyebabkan sumber kuasa tertutup dan pintu gerabak yang lain tidak boleh dibuka. Atas sebab itu, penumpang-penumpang kereta api 1080 terperangkap dan sekali gus tidak dapat menyelamatkan diri.

79 orang penumpang telah meninggal dunia kerana terhidu asap. Pada jam 1.30 petang, kebakaran tersebut berjaya dipadamkan namun pihak berkuasa diarahkan untuk mengambil jasad-jasad berkenaan pada pukul 3.30 petang kerana asap yang berbahaya. 

Motif si pelaku dan hukuman

Sumber: Alchetron

Kim Dae Han yang berusia 56 tahun ini merupakan seorang bekas pemandu teksi yang terpaksa berhenti kerja kerana mengalami serangan jantung.

Oleh sebab serangan jantung yang mengakibatkan strok dan separuh lumpuh, Dae Han mengalami tekanan dan pernah cuba untuk mengambil nyawanya sendiri. 

Ketika ditahan oleh pihak polis, Dae Han berkata bahawa dia mahu tamatkan riwayatnya sendiri. Walaupun begitu, dia tidak mahu meninggal dunia keseorangan tetapi di tempat khalayak ramai.

Selepas perbicaraan, hakim telah memutuskan Kim Dae Han menerima hukuman penjara seumur hidup dan menjatuhkan hukuman penjara empat ke lima tahun kepada pemandu kereta api 1080 akibat kecuaiannya. 

Menjadi kenangan walaupun pahit

Pada 18 Februari setiap tahun, semua kereta api bawah tanah akan memberi pengumuman kepada penumpang untuk memperingati mangsa-mangsa kejadian dan membunyikan hon pada pukul 9.53 pagi.

Pada 2017, pemerintah bandar Daegu telah mendirikan tempat memorial di Stesen Jungangno untuk memberi penghormatan kepada mangsa-mangsa terkorban. Ia turut mempunyai nama-nama mangsa korban dan sebahagian barang daripada insiden tersebut. 

Penulis:

  • Nur Azlin Mohd Azda adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA) UiTM.
  • Prof Madya Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Pensyarah Kanan dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri (FiTA) UiTM.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca