Akibat Terlalu Sayang, Lelaki Ini Sanggup Bekukan Jasad Isteri Selama 50 Tahun

Kehilangan orang tersayang bukanlah satu perkara yang boleh diterima begitu sahaja. Walaupun begitu, kehidupan mesti diteruskan seperti biasa.

Meskipun perit untuk kita terima kenyataan, mereka yang telah pergi buat selama-lamanya pastinya tidak mampu untuk dihidupkan semula dalam kehidupan ini.

Namun, ia berbeza buat seorang lelaki di Shandong, China. Percaya masih ada ‘talian hayat’ buat isterinya untuk dihidupkan semula pada masa hadapan, Gui Junmin sanggup membekukan jasad mendiang isterinya ke dalam sebuah tangki sejuk beku.

Memetik laporan China Press, Junmin telah kehilangan isterinya, Zhan Wenlian kepada barah paru-paru pada tahun 2017. Sebelum wanita itu menghembuskan nafas terakhir, suaminya sempat mengadakan satu perjanjian bersama Institut Penyelidikan Sains Kehidupan Yinfeng.

Menerusi perjanjian tersebut, Junmin bercadang untuk menempatkan isterinya ke dalam sebuah tangki simpanan jasad cryogenics. Junmin membuat keputusan tersebut atas dasar cinta. Bagi dirinya, Wenlian masih belum dijemput Tuhan cuma wanita itu sedang tidur sahaja.

Apakah cryogenics?

Sumber: The Vocket

Buat anda yang masih keliru, tangki cryogenics ini adalah mesin teknologi sains yang menggunakan suhu sejuk beku untuk membekukan dan mengawetkan jasad manusia berdasarkan laporan Dailymail.

Selepas selesai melakukan penyelidikan dan turut berbincang dengan individu yang lebih arif tentang teknologi perubatan berkenaan, Junmin terus mengambil keputusan untuk meminta persetujuan daripada isterinya.

Wenlian bagaimanapun sudah tidak mampu lagi untuk menggerakkan anggota wajahnya kerana sel kansernya mula merebak ke otak ketika suaminya mahu berbincang berkenaan perkara tersebut.

Untuk mendapatkan persetujuan ini, Junmin meminta isterinya menggenggam tangannya sebagai tanda setuju untuk melaksanakan proses pengawetan cryogenics.

Junmin berkata dengan sedih kepada wartawan akhbar tempatan bahawa Wenlian sempat genggam tangannya buat kali terakhir sebagai tanda dirinya bersetuju dengan proses pengawetan cryogenics. Junmin sempat memberitahu kepada Wenlian, “Sayang, awak hanya perlu pejamkan mata dan tidurlah untuk seketika waktu.”

Sumber: Daily Mail

Pada 8 Mei 2017, Wenlian dilaporkan sudah pergi buat selama-lamanya kerana jantungnya tidak lagi mampu berfungsi dengan baik. Jasad wanita berkenaan kemudiannya dihantar ke Institut Penyelidikan Sains Kehidupan Yinfeng,

Ia bertujuan untuk memindahkan jasad Wenlian ke dalam tangki cryogenics dan operasi tersebut difahamkan mengambil masa selama 55 jam. Junmin sempat melihat jasad isterinya buat kali terakhir sebelum ia dibekukan selama 50 tahun.

Junmin memilih tempoh masa berkenaan kerana dia percaya akan ada teknologi yang boleh ‘menghidupkan’ kembali mereka yang sudah tiada dalam 50 tahun lagi.

Atas sebab itu, lelaki itu mahu mengambil risiko tersebut supaya dapat ‘bertemu’ lagi dengan isterinya suatu hari nanti. Jasad wanita itu kini berada dalam tangki cryogenics pada suhu -196°C yang dipenuhi dengan 2,000 liter cecair nitrogen.

Untuk pengetahuan anda, terdapat 10 jasad lain selain Wenlian berumur antara 13 dan 72 tahun dilaporkan telah dibekukan di Institut Penyelidikan Sains Kehidupan Yinfeng menerusi kaedah penyimpanan sama.

Kaedah penyimpanan cryogenics jasad wanita ini sama seperti kisah dalam filem The Passengers. Dalam filem tersebut, orang tersayang menyimpan jasad Aurora Lane (Jennifer Lawrence) dan Jim Perston (Chris Patt) dalam kapsul Passengers selepas dunia kiamat.

Aurora dan Jim bersama 5,000 penumpang lain akan dihantar ke satu planet misteri dengan menaiki sebuah kapal angkasa yang mengambil masa perjalanan 120 tahun untuk sampai ke sana.

Setibanya mereka di sana, semua jasad akan dihidupkan semula pada masa hadapan dan membina kehidupan baharu di planet tersebut. Sekadar peringatan, kita hanya manusia biasa dan tiada tandingannya dengan kuasa yang Maha Esa.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca