Akibat Percaya Metanol Mampu Pulih COVID-19, 700 Mangsa Maut Di Iran

Baca boleh, percaya jangan. Perkataan itulah yang perlu difahami oleh orang ramai apabila mendapat satu berita yang kelihatan terlalu baik untuk menjadi benar.

Perkara ini berlaku di Iran, apabila 700 warga Iran maut kerana percaya minum bahan kimia Metanol atau Methyl alcohol mampu mencegah virus COVID-19.

Menurut Penasihat Kementerian, Hossein Hassanian, jumlah itu merupakan angka korban yang tertinggi pernah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Iran setakat ini.

Hossein bagaimanapun menerangkan perbezaan pada laporan sebelum ini adalah kerana disebabkan kes korban yang berlaku di luar hospital.

“Kira-kira 200 orang maut tanpa menerima rawatan di hospital,” katanya seperti dilaporkan AP.

Tambahan itu, menerusi laporan berkaitan virus COVID-19 yang dikeluarkan Iran pada awal April, kes keracunan Metanol menunjukkan peningkatan yang mendadak sebanyak 10 kali ganda sejak tahun lalu.

Beliau juga menambah, jumlah sebenar kes mereka yang hilang atau kabur penglihatan akibat Metanol juga dipercayai lebih tinggi daripada jumlah sebenar dicatatkan.

Jurucakap Kementerian Kesihatan, Kianoush Jahanpour juga memaklumkan sejumlah 5,011 warganegara itu menjadi mangsa keracunan Metanol.

“Kira-kira 90 orang didapati hilang penglihatan atau menderita kerosakan pada organ mata akibat meminum alkohol,” katanya.

Susulan itu, turut dilaporkan kerajaan Iran telah mengarahkan pengilang Metanol untuk menambah bahan pewarna tiruan ke dalam produk mereka.

Hal ini bertujuan untuk tidak mengelirukan rakyatnya dengan Etanol iaitu sejenis alkohol yang digunakan untuk mencuci luka.

Meskipun bahan kimia Etanol diharamkan di negara itu, ia masih boleh didapati dalam minuman beralkohol. Hanya golongan Kristian, Yahudi dan Zoroastrian sahaja dibenarkan untuk minum di kawasan peribadi masing-masing.

Kerajaan Iran juga membenarkan operasi kilang-kilang alkohol dijalankan sewaktu pandemik COVID-19 ini.

Menurut kajian, pengambilan alkohol boleh memberi kesan bahaya kepada otak dan perkembangan organ-organ tertentu selain boleh menyebabkan sakit dada, sesak nafas dan kabur penglihatan.

Untuk rekod, Iran kini mencatatkan lebih 91,000 kes jangkitan dengan 5,806 angka korban.

Untuk membaca artikel lain berkaitan COVID-19, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca