Akibat Peningkatan Kes Kematian, Larangan Penggunaan Vape Sedang Dikaji

Jika anda adalah seorang penghisap vape mahupun rokok elektronik, berita ini mungkin akan menggusarkan anda.

Satu jawatankuasa pakar telah diwujudkan oleh kerajaan bagi mengkaji kemungkinan larangan secara menyeluruh penggunaan vape dan rokok elektronik. Menurut Menteri Kesihatan, jawatankuasa yang akan dipengerusikan oleh timbalannya, Dr. Lee Boon Chye diwujudkan susulan peningkatan kes kematian pengguna vape dan rokok elektronik.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary yang ingin tahu tahu adakah kerajaan bercadang menguatkuasakan larangan penjualan vape dan rokok elektronik secara menyeluruh ataupun membendung jualan bahan berkenaan terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah memandangkan bahaya bahan itu daripada aspek kesihatan.

Menurut Dr. Dzulkefly lagi, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) masih lagi menjalankan kajian mendalam dan perbincangan termasuk akta baharu berkaitan vape dan rokok elektronik.

Selain itu, pihak kementerian juga sedang meneliti kajian-kajian yang menunjukkan kesan sampingan terhadap penggunaan vape dan rokok elektronik.

Akta baharu yang sedang dalam semakan Jabatan Peguam Negara, menurut Dr. Dzulkefly akan memperuntukkan larangan keras penggunaan semua jenis produk sama ada rokok konvensional atau pun eletronik untuk individu berumur 18 tahun ke bawah.

Hasil kajian Kementerian Kesihatan juga mendapati kira-kira 300,000 pelajar sekolah adalah pengguna semasa vape dan rokok elektronik, manakala 700,000 pelajar sekolah pernah mencuba vape dan rokok elektronik walaupun hanya sekali.

Setakat ini, beberapa negara di dunia telah menguatkuasakan pengharaman vape dan rokok elektronik. Antaranya adalah Brunei, Kemboja, Vietnam, Thailand, Uruguay dan Qatar. Beberapa negara juga telah mengehadkan penggunaan rokok elektronik dan vape, seperti Australia, Jepun, India dan Hong Kong.

Pada Ogos 2019, kematian pertama akibat penggunaan vape telah dilaporkan di Amerika Syarikat. Setakat ini, sebanyak 12 kes kematian akibat penggunaan vape telah dilaporkan di Amerika Syarikat dan 805 kes kecederaan paru-paru akibat penggunaan bahan tersebut.

Artikel Lain Untuk Di Baca