Akibat Betulkan Informasi Salah, Lelaki Ini Kena ‘Block’ Dengan Twitter Rasmi KKM

Gara-gara membetulkan kesalahan dalam salah satu ciapan yang dimuat naik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di laman Twitter, lelaki ini telah disekat oleh akaun rasmi kementerian tersebut.

Menerusi sebuah bebenang di laman Twitter, seorang pengguna yang dikenali sebagai Azhar Ibrahim meluahkan perasaan terkilan selepas beliau disekat oleh para moderator Twitter rasmi KKM.

Mana tidaknya, akaun Twitter rasmi seperti KKM merupakan sebuah medium yang digunakan oleh pihak kerajaan untuk menyampaikan maklumat yang sahih dan tepat kepada rakyat Malaysia.

Walau bagaimanapun, apakah yang bakal berlaku sekiranya akaun rasmi seperti ini menyekat akaun sesuka hati? Sudah tentu, rakyat akan kekurangan satu sumber sahih untuk dirujuk sekiranya mereka memerlukan apa-apa maklumat daripada pihak kerajaan.

“Ini ke sikap dan mentaliti pegawai kerajaan yang ditugaskan untuk menjaga akaun-akaun media sosial kementerian dan jabatan kerajaan sekarang?” ujarnya.

Sementara itu, Azhar menjelaskan bahawa dirinya disekat oleh akaun rasmi KKM selepas memberi teguran kepada salah satu ciapan yang mempunyai kenyataan kurang tepat berkaitan nisbah doktor kepada setiap penduduk.

Menurut akaun rasmi KKM Putrajaya, Dr. Adham Baba berkata nisbah seorang doktor bagi setiap penduduk di Malaysia ialah 1:454 iaitu lebih baik berbanding 1:500 yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Walau bagaimanapun, WHO menyarankan nisbah seorang doktor bagi setiap penduduk di negara membangun ialah 1:400 dan bukannya 1:500 seperti yang dinyatakan oleh pihak KKM.

Memetik laporan Code Blue, Malaysia merancang untuk mempunyai nisbah seorang doktor bagi setiap 500 penduduk sebelum tahun 2020.

Walau bagaimanapun, negara ini masih tidak mencapai sasaran nisbah doktor kepada populasi yang ditetapkan oleh pihak WHO kepada negara membangun.

Dalam pada itu, pihak KKM di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) turut menetapkan sasaran secara keseluruhan iaitu nisbah doktor kepada populasi dengan indikator 1:400.

Akhir kata, akaun Twitter rasmi seperti KKM tidak boleh block mana-mana akaun untuk apa-apa sebab kerana mereka mempunyai tanggungjawab untuk menyampaikan informasi yang sahih dan tepat kepada semua rakyat Malaysia.

Untuk membaca lebih banyak artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca