Akibat Berhenti Lihat Pemandangan, Pemandu Ini Jadi Punca Kemalangan Pertama Di Lebuh Raya SUKE

Baru sahaja empat hari dibuka, Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Selangor merekodkan kemalangan pertama semalam apabila seorang penunggang motosikal telah merempuh sebuah Perodua Myvi berwarna kuning yang berhenti di lorong kecemasan lebuh raya itu.

Menurut hantaran di laman Facebook Polis Daerah Ampang Jaya Page, kemalangan itu berlaku di lokasi satu kilometer dari Plaza Tol Bukit Teratai menghala ke Kuala Lumpur pada jam 2.45 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya iaitu Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata hasil siasatan pihak polis mendapati sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandu oleh seorang lelaki telah berhenti di lorong kecemasan di Lebuhraya SUKE dengan tujuan untuk melihat pemandangan sekitar dari atas lebuh raya.

Sumber: Facebook Polis Daerah Ampang Jaya Page

“Kemudian datang sebuah motosikal jenis Suzuki dari arah belakang melanggar bahagian belakang motokar jenis Perodua Myvi yang sedang berhenti itu.

Kemalangan telah menyebabkan kerosakan kepada kedua-dua kenderaan terlibat manakala penunggang motosikal jenis Suzuki telah mengalami kecederaan di bahagian kaki dan telah dibawa ke Hospital Ampang bagi mendapatkan rawatan,” ujarnya.

Farouk menjelaskan bahawa kes ini disiasat di bawah Kaedah 16 LN 166/59 iaitu halangan sehingga menyebbakan kemalangan. Individu yang cuai menyebabkan kemalangan boleh dikompaun sehingga RM300.

Sumber: Facebook Polis Daerah Ampang Jaya Page

Dalam pada itu, Kosmo! melaporkan terdapat puluhan kenderaan yang sengaja memberhentikan kenderaan mereka sempena pembukaan Lebuhraya SUKE untuk mengambil gambar walaupun ia disifatkan sebagai satu tindakan berbahaya.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca