Aiskrim Vanila Haagen-Dazs Ditarik Balik, Ini Penjelasan Kementerian Kesihatan Malaysia

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan produk aiskrim berjenama Haagen-Dazs berperisa vanila dari pasaran Eropah telah ditarik balik daripada memasuki pasaran negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sejak isu tersebut dilaporkan dan notifikasi diterima bulan lalu, pihak syarikat yang mengimport aiskrim berkenaan menarik balik produk terbabit di pasaran secara sukarela.

Menerusi satu kenyataan media beliau berkata produk terbabit dikesan mengandungi bahan karsinogenik Ethylene Oxide (ETO) berlebihan berdasarkan notifikasi daripada European Union Rapid Alerts System for Food and Feed (EURASAFF).

Notifikasi tersebut menyatakan bahawa terdapat penarikan balik produk aiskrim dari negara Perancis yang mengandungi ekstrak vanila dari negara Madagascar yang dikesan mengandungi ETO melebihi tahap yang dibenarkan.

ETO merupakan sebatian gas kimia yang bersifat karsinogenik dan sering digunakan bagi menjalankan pewasapan untuk membunuh makhluk perosak seperti serangga.

Selain itu, ia juga digunakan sebagai bahan aktif dalam bahan pencuci tetapi tidak dibenarkan penggunaannya pada permukaan yang bersentuhan makanan.

“Produk aiskrim tersebut juga telah diedarkan ke beberapa buah negara termasuk Malaysia.

Sejak isu tersebut dilaporkan dan notifikasi diterima oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia pada bulan Julai 2022, tindakan yang sewajarnya telah diambil di mana pihak syarikat yang mengimport telah menarik balik produk aiskrim terlibat di pasaran secara sukarela,” jelasnya.

KKM menegaskan, pemantauan berterusan akan dilaksanakan bagi memastikan produk terbabit tidak dipasarkan di negara ini.

“KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.” jelas Dr Noor Hisham lagi.

Tambahnya, Pengguna juga boleh menyalurkan pertanyaan melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM).

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca