AirAsia Tampil Sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia Buat Kali Ke-11 Berturut-Turut

AirAsia telah berjaya memenangi Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia di Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax 2019 dan ini merupakan kemenangan 11 tahun berturut-turut buat syarikat itu.

Pada masa yang sama, AirAsia juga dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Asia dan Kabin Premium Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia bagi tempat duduk Premium Flatbed, yang terdapat dalam pesawat jarak jauh AirAsia X.

Menurut Pengerusi Eksekutif AirAsia Group Bhd iaitu Datuk Kamarudin Meranun, anugerah yang diperoleh itu merupakan satu penghormatan atas komitmen AirAsia dalam menawarkan perjalanan mampu milik di samping perkhidmatan mereka yang jelas sekali mengutamakan pelanggan terlebih dahulu.

“Hakikatnya, anugerah ini adalah berdasarkan maklum balas langsung dan ia merupakan pengiktirafan yang menggembirakan untuk seluruh warga AirAsia yang telah banyak berusaha dan memberikan komitmen kepada kecemerlangan perkhidmatan untuk pelanggan kami,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan berkenaan diedarkan sewaktu majlis anugerah tersebut yang berlangsung di Pameran Udara Paris Antarabangsa kali ke-53 di Le Bourget. Dalam anugerah itu, Qatar Airways turut dinamakan sebagai Syarikat Penerbangan Terbaik Tahun Ini.

Sementara itu, Pengerusi AirAsia X iaitu Tan Sri Rafidah Aziz mengatakan bahawa anugerah tersebut didedikasikan buat seluruh warga AirAsia yang sangat komited dan berpegang teguh kepada budaya, misi dan visi korporat syarikat.

“Kami sekali lagi diiktiraf atas perkhidmatan menyediakan Kabin Premium Syarikat Tambang Rendah Terbaik Dunia dalam penerbangan jarak jauh kami,” katanya.

“Tahun ini, kami akan pergi lebih jauh dengan menawarkan keselesaan dalam penerbangan yang terbaik menerusi pesawat Airbus A330neo baharu, pesawat yang akan mengubah pengalaman perjalanan jarak jauh.”

“Digabungkan dengan perkhidmatan dalam penerbangan yang cukup terkemuka sebagai syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh, AirAsia X akan terus berusaha menawarkan perkhidmatan yang berbaloi kepada pelanggan ke 30 destinasi di 10 pasaran di seluruh rangkaian jarak jauh AirAsia Group,” tambahnya lagi.

Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax mula diperkenalkan pada 1999 dan apa yang menariknya adalah ia bersifat bebas di mana anugerah ini tidak berpihak dan ini menjadikannya sebagai penanda aras kecemerlangan global bagi syarikat penerbangan.

Anugerah ini juga dikenali sebagai anugerah ‘Oscars’ bagi industri penerbangan.

Kaji selidik telah dijalankan ke atas 21.65 juta pelanggan dengan 100 kewarganeraan yang menilai lebih 300 syarikat penerbangan mulai Ogos 2018 sehingga Mei 2019 bagi mendapatkan keputusan akhir anugerah ini.

Bagi meraikan pencapaian yang membanggakan ini, AirAsia akan melanjutkan promosi besar-besaran sehingga 23 Jun 2019 di mana para pelanggan boleh membeli tambang dengan harga serendah RM12 untuk penerbangan dari Kuala Lumpur ke pelbagai destinasi domestik dan daripada RM89 bagi penerbangan antarabangsa.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca