AirAsia Menawarkan Penerbangan Percuma Kepada Petugas Barisan Hadapan HKL

Syarikat penerbangan terkemuka iaitu AirAsia menawarkan penerbangan percuma ke destinasi domestik yang terpilih di Semenanjung Malaysia kepada petugas barisan hadapan Hospital Kuala Lumpur (HKL). Ia sebagai salah satu usaha untuk menyokong Ormond Group yang juga menawarkan penginapan percuma untuk petugas barisan hadapan HKL.

Dalam kenyataan bersama hari ini, mereka menyatakan bahawa ia sebagai cara untuk menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan HKL yang telah berpenat lelah untuk menjaga kesihatan rakyat Malaysia ketika penularan wabak COVID-19.

“Dalam semangat #InThisTogether, kami gembira dapat bekerjasama dengan Ormond Group dan menawarkan penerbangan percuma ke destinasi domestik di Semenanjung Malaysia kepada petugas barisan hadapan HKL.

“Kesemua mereka merupakan wira dan wirawati negara sepanjang penularan wabak ini, dan kami ingin mengucapkan terima kasih,” kata Ketua Pegawai Eksekutif airasia.com iaitu Karen Chan.

Dalam masa yang sama, Ormond Group akan turut menawarkan pakej penginapan satu malam secara percuma kepada petugas kesihatan yang sama di hotel terkemuka miliknya The Chow Kit-An Ormond Hotel.

Selain itu, pihak mereka juga akan memberi diskaun sebanyak 30 peratus kepada semua petugas kesihatan, anggota polis dan tentera yang terlibat dalam usaha memerangi COVID-19 untuk menginap di mana-mana hotel miliknya.

“Kami terhutang budi dengan mereka, ini hanyalah perkara kecil yang kami lakukan sebagai tanda penghargaan kami,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Ormond Group iaitu Gareth Lim.

Tawaran itu adalah susulan lanjutan sokongan Ormond Group terhadap petugas kesihatan di Tune Hotels PWTC, setelah menempatkan 200 kakitangan HKL ketika situasi COVID-19 melanda sepanjang 45 hari lalu.

Ia merangkumi sejumlah 4531 malam penginapan, ditaja oleh sebuah badan amal sekutunya iaitu Yayasan ECM Libra.

Ormond Group merupakan syarikat hospitaliti dengan visi mencipta pengalaman positif yang mempengaruhi cara hidup, bekerja dan menginap.

Usaha sebegini dilihat amat positif dan diharapkan banyak lagi pihak tampil untuk menghargai pengorbanan seluruh barisan hadapan yang terlah banyak berkorban.

Untuk baca artikel lain berkenaan dengan AirAsia, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca