Air Selangor: Bekalan Air Di 4 Kawasan Hampir Pulih Sepenuhnya

Bekalan air di kawasan Petaling, Sepang, Hulu Langat dan Kuala Langat yang sebelum ini terjejas gara-gara pencemaran bau di Sungai Semenyih sudah hampir pulih sepenuhnya.

Menurut Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) iaitu Abdul Halem Mat Som, berdasarkan bacaan semasa peratusan pemulihan, di Petaling menunjukkan tahap 97.3 peratus pulih, Hulu Langat 98.8 peratus, Sepang dan Putrajaya 99.1 peratus dan di Kuala Langat telah pun pulih sepenuhnya.

“Walaupun bekalan air semakin pulih di hampir semua kawasan, Air Selangor masih menggerakkan bantuan kecemasan seperti lori tangki, PKS (Pusat Khidmat Setempat) dan pili-pili awam sehingga keseluruhan kawasan pulih sepenuhnya,” katanya menerusi satu kenyataan.

Para pengguna yang ingin mendapatkan perkembangan terkini berkenaan gangguan tersebut boleh berbuat demikian dengan merujuk aplikasi telefon pintar Air Selangor, Facebook dan Instagram atau boleh layari laman sesawang Air Selangor.

Untuk rekod, pada Sabtu lepas, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas sepenuhnya ekoran insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih. Ia berpunca daripada perbuatan tidak bertanggungjawab segelintir pihak yang bertindak membuang bahan sisa buangan haram di lurang pembentungan sekitar loji milik Indah Water Konsortium Sdn. Bhd.

Susulan itu, 366 kawasan dengan akaun pengguna sebanyak 328,957 di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang telah terjejas.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca